“Kalau berani tunjuk la muka, kenapa kecut sangat?” - Aishah - Hiburan | mStar

“Kalau berani tunjuk la muka, kenapa kecut sangat?” - Aishah

Aishah jelaskan sebab utama dia meninggalkan dunia politik. Foto: IZZRAFIQ ALIAS.

KEPUTUSAN penyanyi Aishah meninggalkan dunia politik bagi menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier dalam industri seni menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Aishah menerusi laman Instagramnya ada memuat naik komen salah seorang netizen yang menyatakan keputusan itu dibuat disebabkan dia tidak dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU14) yang diadakan 9 Mei lalu.

Tanpa berdiam diri, penyanyi lagu Janji Manismu itu membalas semula komen tersebut dengan menjelaskan sebab utama dia memilih untuk meninggalkan bidang itu.

"Untuk pengetahuan, I memang minta untuk tidak dicalonkan. I sayangkan industri seni, tak pernah fikir diri sebagai ahli politik lebih sebagai anak seni.

"Orang nak cakap apa pun cakaplah. Sekurang-kurangnya apa I buat tak rembat duit rakyat. I buat komen pun berani letak nama dan gambar sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Aishah ucap selamat tinggal dunia politik


Aishah memuat naik komen salah seorang netizen.

"Menyanyi sampai ke tua tak ada hal babe, itu kelebihan dan skill yang bukan ramai yang ada. Lumayan lagi," tulisnya.

Manakala menerusi kapsyen foto paparan skrin komen tersebut, Aishah meminta netizen tidak menghina penggiat seni yang mencari rezeki dengan bakat yang ada.

Aishah juga mencabar netizen yang meninggalkan komen negatif untuk berani menggunakan foto wajah sendiri.

"Kesian orang macam ni, komen main suka hati tok nenek dia saja tak berasas. Kalau ya pun I menyanyi sampai tua, jadi apa? Ada minta makan dengan dia ke?

"Tak payah hinalah penggiat seni, kami cari makan gunakan bakat yang ada pada kami, tak payah jadi cybertrooper hidup bergelumang dosa mengata orang.

"Kalau berani tunjuk muka la, mengapa kecut sangat nak letak gambar. Balik batu sorok tangan," katanya.

Aishah.

Penglibatan Aishah dalam bidang politik apabila dia menjadi ahli PAS. Pada PRU13, Aishah bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan mewakili parti itu bagi menentang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Aishah gagal merebut kerusi itu apabila Mohd Isa menang dengan majoriti 8,614 undi.

Selepas itu, Aishah meninggalkan PAS dan menyertai Parti Amanah Negara (PAN) dan giat mempromosikan aktiviti dan ceramah bawah Pakatan Harapan pada PRU14.

Dalam perkembangan lain, Aishah yang juga juara program Gegar Vaganza musim keempat bakal melancarkan single terbaharunya berjudul Malar hasil ciptaan Hazami.

Malar bakal diperdengarkan buat kali pertama pada konsert Pesta Raya 2018 Dua Diva bersama Liza Hanim di Dewan Espelanade Singapura 13 Julai ini.

Aishah

Artikel Sebelum

Fizo tukar baju anak 10 kali sehari

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Mak Nyah maut dibelasah sekumpulan lelaki

Mas Ermieyati sertai Bersatu