suria

“Berpisah Tanpa Rela” dedah krisis Lan Solo bersama Kristal

Lan lebih selesa bergerak secara solo. FOTO: MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

PENYANYI Lan Solo mengakui single berjudul Berpisah Tanpa Rela adalah berkisar tentang luahannya mengenai kontroversi melanda dirinya bersama bekas kumpulan Kristal.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata, dia menghasilkan lagu itu bukan ingin mengangatkan kembali isu mereka sebaliknya ia hanyalah luahan menerusi sebuah lagu.

“Pada awalnya saya ingin menulis lagu cinta tentang kekasih tetapi saya mahu Berpisah Tanpa Rela mempunyai elemen peribadi tentang diri saya.

“Jujurnya saya bukan ingin mengungkit tentang apa yang berlaku kerana saya sendiri pun dah ‘tutup buku’ cuma ini sekadar luahan dalam lagu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Lan Solo jadi mangsa diejek bibir sumbing

Lan menunjukkan single Berpisah Tanpa Rela

Lan ditemui pada majlis pelancaran single itu yang juga diciptanya sendiri pada Isnin.

Sebelum ini, Lan mengumum untuk undur diri daripada Kristal selepas pemain gitar kumpulan itu, Rody mengumumkan merehatkan dia kerana mahu mencari vokalis baharu.

Dalam pada itu, Lan memberitahu penghasilan lagu itu bukan bererti dia masih belum meneruskan kehidupannya daripada kumpulan Kristal.

Malah kata Lan, buat masa ini dia juga tidak terbuka hati untuk kembali ke pangkuan kumpulan itu dan ingin membina karier solonya tanpa bayangan sesiapa.

“Orang mungkin kata saya belum ‘move on’ tetapi saya anggap lagu ini seperti seseorang yang teringat kekasih lama tetapi dia sudah meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

“Walaupun ada kesan mendalam pada diri saya tetapi saya sudah 'move on' dengan apa juga yang berlaku di antara kami sebelum ini.

“Malah tak terfikir pun untuk kembali bersama buat masa ini kerana luka di hati ini pun belum sembuh!” jelasnya.

Bercakap lanjut mengenai Berpisah Tanpa Rela, Lan berkata, dia menghasilkan lagu itu selepas pertandingan Gegar Vaganza 4 (GV4) berakhir pada penghujung tahun lalu.

Kata Lan, dia memilih pop balada untuk karier solonya kerana suka dan selesa dengan genre itu selain ingin memberi kelainan selepas hampir 20 tahun menyanyikan lagu rock.

“Saya masih Lan yang dulu tetapi apabila bergerak solo saya perlu ikut jiwa saya selain permintaan pasaran dan kegemaran pendengar ketika ini.

“Pada awalnya ada juga peminat tegar sejak bersama Kristal dahulu tidak suka dengan perubahan dilakukan tetapi Alhamdulillah sokongan diterima lebih banyak daripada kritikan,”  jelasnya.

Lan Solo, Kristal

Artikel Lain