Jiran Zaman Kanak-Kanak Pilihan Dayah - Hiburan | mStar

Jiran Zaman Kanak-Kanak Pilihan Dayah

Dayah tidak sangka kisah dia dan tunang menarik perhatian netizen di laman sosial. Foto Instagram: @dayahbakar.

PENGACARA program Nasi Lemak Kopi O, Dayah Bakar tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan jiran rumahnya semasa mereka kecil.

Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar, 28, berkata dia dan bakal suaminya, Hanif Hamidi, pernah belajar di sekolah yang sama selama tiga tahun.

"Saya dan Hanif belajar di sekolah yang sama ketika kami tingkatan satu hingga tiga. Tapi kami membesar dari kecil sama-sama sebab rumah dekat.

"Bila dah besar, masing-masing ada kehidupan sendiri. Tak sangka pula saya akan bertemu jodoh dengan jiran rumah," kata Dayah ketika dihubungi mStar Online.


Kebetulan Dayah masih menyimpan gambar mereka berdua ketika di bangku sekolah. 

Kisah Dayah dan Hanif mendapat perhatian netizen di laman sosial apabila dia memuat naik foto mereka ketika zaman kanak-kanak.

Mereka belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban, Negeri Sembilan.

Tambah Dayah lagi, dia pernah menerima surat cinta daripada Hanif, 28, namun ketika itu hanya menganggap lelaki itu hanya kawan.

Namun, pertemuan semula pada penhujung tahun lalu membuatkan hubungan mereka semakin rapat dan akhirnya mengikat tali pertunangan pada Sabtu lalu.

"Saya pernah terima surat cinta daripada Hanif tapi masa itu anggap dia sebagai kawan sahaja. Tak ada perasaan apa-apa.

Hanif menyimpan perasaan terhadap Dayah sejak 15 tahun lalu. 

"Selepas kami berpindah ke sekolah asrama, kami hanya berhubung di laman sosial sahaja. Namun, pada penghujung tahun lalu dia ada hubungi saya untuk bertanya khabar.

"Sejak dari itu, kami selalu berhubung dan berjumpa. Lama-lama hati saya terpaut dengannya setelah 15 tahun dia menyimpan perasaan terhadap saya," ujarnya.

Dayah merancang untuk bernikah dengan pegawai tentera berpangkat Kapten itu pada bulan Jun tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Dayah bakal mengeluarkan single pertama berjudul Imamku selepas beberapa tahun menyimpan hasrat menjadi seorang penyanyi.

"Akhirnya selepas beberapa tahun simpan hasrat ini, saya bakal keluarkan single pertama berjudul Imamku pada awal tahun depan.

"Lagu ini saya cipta sendiri dah lama. Cuma takut nak bagi orang dengar. Tapi kalau kita tak cuba, tak tahu kan," katanya.

Dayah Bakar

Artikel Sebelum

Rakan Artis Tumpang Sedih Penyakit Elyana

Artikel Berikut

“Tunggu Sidang Media” – Rody Kristal

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel