suria

Fokus Zizan Nin Pada Karier Bukan Peribadi

Zizan Nin kini sibuk dengan kerja-kerja penerbitan dokumentari. Foto SAM THAM

KEMBALI hidup solo sejak bercerai dengan bekas isteri pada tahun lalu, pelakon Zizan Nin belum berfikir untuk mencari pengganti mengisi kekosongan dalam hatinya.

Sebaliknya kata Zizan, 42, fokusnya kini adalah terhadap karier seninya termasuk sedang sibuk sebagai produser menerbitkan program-program berbentuk dokumentari.

"Alhamdulillah kehidupan saya biasa sahaja tetapi fokus saya adalah kepada kerja dan memang sekarang terlalu sibuk dengan syarikat produksi saya yang banyak menerbitkan program dokumentari.

"Tanggungjawab saya untuk membangunkan syarikat dan program-program yang kami terbitkan sangat besar jadi memang saya kini fokus kepada kerja sahaja," katanya.

Zizan pernah berkahwin dengan personaliti televisyen, Fazilah Hani Harun pada 20 Mac 2010 dan bercerai enam tahun kemudian.

Malah kata Zizan, dia juga sudah kurang aktif dalam lakonan namun tidak bercadang meninggalkan bidang itu kerana ia adalah minat utamanya.

"Ada beberapa projek sahaja yang saya ambil selebihnya saya tolak kerana sibuk dengan produksi saya.

"Terbaharu saya tampil dalam sebuah filem televisyen berjudul #TerobekRaya dan itu pun kerana penerbitnya yang juga selebriti Ozlynn Wati dan Johan adalah rakan baik saya.

"Ia projek yang menyeronokkan kerana ia sebuah filem komedi dan ia cabaran baharu dalam karier lakonan saya," katanya.

Sementara itu, Zizan berkata, dia tidak bercadang untuk menerbitkan drama atau filem menerusi syarikatnya kerana minatnya lebih kepada penerbitan dokumentari.

Kata Zizan, ia adalah satu genre yang menarik perhatiannya kerana selain dapat menyalurkan maklumat berinformasi ia juga boleh menjadi menyeronokkan.

"Saya sedang siapkan dua dokumentari iaitu Jom Kayuh 2 dan Pesona Malaysia untuk siaran RTM dan penerbitan dokumentari memberikan kepuasan lain kepada saya.

"Saya cuba tampil dengan produk yang menyeronokkan tetapi masih sarat dengan informasi berguna kepada penonton," katanya.

Zizan Nin, #TerobekRaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain