suria

Rahim Muntah, Pengsan Kerana Bersenam

Menakjubkan... Bentuk fizikal Rahim (gambar kanan) ketika berat badannya mencecah 125 kilogram sebelum berjaya menurunkan sebanyak 22.5 kilogram (kiri) hanya dalam masa lima minggu.

SIAPA sangka penyampai radio dan pelawak Rahim berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 22 kilogram hanya dalam masa lima minggu!

Rahim berkata, dia pada awalnya tidak percaya dengan penurunan tersebut memandangkan berat badannya sebelum ini mencecah 125 kilogram.

Katanya lagi, dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Sinar FM yang mendorongnya untuk menyertai cabaran MisiXLRahim dan berjaya mengubah hidupnya ke arah lebih baik.

"Terus terang sebelum ini saya memang jarang sekali bersenam dan apabila pihak Sinar FM memberitahu ada pihak ingin membantu saya mengurangkan berat badan saya sahut cabaran itu.

"Jujur saya katakan pada minggu pertama ia memang sukar sehingga saya mengalami muntah, pitam dan mata menjadi kabur kerana tidak mempunyai stamina.

Rahim bersama dua jurulatih peribadinya iaitu Amirul (kiri) dan Aminah (kanan).

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana menyahut cabaran itu dan penurunan sebanyak 22 kilogram hanya dalam tempoh lima minggu memang menakjubkan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Menceritakan rutin senamannya, Rahim memberitahu dia diberikan beberapa modul selain mencuba beberapa latihan seperti Muay Thai dan boxing sebagai variasi.

Jelasnya lagi, faktor pemakanan juga dititikberatkan dan turut mendapat tajaan makanan daripada Q Fit Meal bagi memastikan usahanya berhasil.

"Saya ada dua jurulatih peribadi iaitu Amirul dan Aminah yang memang banyak membantu saya dalam misi ini dan setiap minggu mereka akan tampil dengan modul berbeza-beza.

"Faktor pemakanan juga turut menjadi penyumbang dan saya hanya mengambil makanan seimbang bagi memastikan senaman yang dilakukan seimbang dalam mendapatkan hasil yang konsisten," jelasnya.

Sementara itu, Rahim berkata, selain penurunan berat badan yang ketara dia kini mula merasai nikmat daripada 'kesakitan' program lima minggu itu.

Katanya, dia kini berasa lebih ringan dan badannya lebih aktif dan segar selain sakit pada bahagian kakinya berkurangan berbanding sebelum ini.

"Saya sebenarnya terbuka hati menyertai misi ini kerana saya ingin menjalani hidup sihat memandangkan saya ada penyakit asma dan sakit kaki akibat tak dapat tambung berat badan.

Rahim berazam untuk meneruskan rutin senaman dan diet.

"Alhamdulillah, pernafasan saya kini lebih baik malah mudah tidur lena dan apabila bangun badan rasa segar dan ringan," katanya.

Ditanya sama ada akan meneruskan misi menurunkan berat badannya, Rahim berkata, dia tidak mempunyai sebarang sasaran kerana ingin memfokuskan kepada rutin senaman dan menjaga pemakanannya.

"Saya sebenarnya tidak kisah sangat mengenai saiz badan tetapi apa yang paling penting saya kena komited melakukan senaman dan menjaga pemakanan.

"Alhamdulillah ilmu selama lima minggu daripada jurulatih banyak membantu saya untuk melakukan senaman dengan betul.

"Sekarang memang setiap hari saya akan meluangkan masa untuk bersenam dan sehari tidak berjoging memang rasa lain macam," katanya.

Rahim, Sinar FM

Artikel Lain