suria

Ifa Raziah Pengsan 'Prank' Suami?

Video Ifa Raziah tiba-tiba pengsan menjadi tular di laman sosial. Foto Ihsan Instagram @ifa_raziah

KECOH sejak malam Sabtu apabila rakaman video penyanyi dan pengacara sensasi Ifa Raziah tiba-tiba jatuh pengsan menjadi tular di laman sosial.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit itu turut kelihatan suami Ifa iaitu Mohd Yani Abdul Rahman kelihatan panik merangkul isterinya yang rebah ke lantai.

Keadaan juga bertukar kecoh apabila beberapa rakan artis yang terlibat dalam penggambaran video muzik lagu berjudul Dangdut Lebaran turut panik melihat keadaannya.

Ifa ketika dihubungi mStar Online pada Ahad bagaimanapun memberitahu kejadian dia pengsan itu sebenarnya adalah 'prank' untuk suaminya bersempena sambutan hari jadinya.

Jelas Ifa, dia sebenarnya terlupa tentang hari jadi Mohd Yani dan kejutan itu dilakukan sebagai hadiah buat suami tersayang.

Ifa dan suaminya, Mohd Yani.

"Jujur saya memang terlupa hari jadi suami sendiri dek terlalu sibuk dengan kerja, nasib baik pembantu saya ingatkan.

"Saya ingin berikan kejutan kepadanya dan dua rakan baik saya iaitu Ani Mayuni dan Sheeda memberikan idea agar saya buat-buat pengsan ketika penggambaran untuk kenakan suami.

"Memang dia gelabah apabila melihat saya rebah dan ketika itulah rakan-rakan lain membawa keluar kek untuk meraikan hari jadinya," katanya.

Bagaimanapun kata Ifa, dia belum sempat memuat naik video sambutan hari jadi suaminya di Instagram.

Dalam pada itu, Ifa berkata, dia menggunakan idea untuk pengsan kerana kebetulan dia sedang demam dan mengalami batuk akibat terlalu kuat bekerja.

Walaupun tidak sihat kerana demam dan batuk, Ifa tetap gagahkan diri bekerja.

"Jadual saya memang padat sejak beberapa bulan ini dan menyebabkan saya demam dan batuk kerana tidak cukup tidur.

"Ini pun saya masih tidak sihat tetapi tetap perlu bekerja dan perlu gagahkan diri malah kini berada di Pulau Pinang untuk sebuah acara.

"Sebelum ini saya memang tidak pernah pengsan dan apabila suami melihat saya rebah dia benar-benar gelabah dan hampir menangis," ujarnya.

Ditanya berhubung hadiah istimewa untuk suaminya, Ifa bagaimanapun berkata dia belum berkesempatan untuk membeli hadiah namun akan berbuat demikian.

Lagu Dangdut Lebaran adalah projek khas Persatuan Bintang Dangdut Malaysia yang turut menampilkan ahli-ahli persatuan itu.

Ifa Raziah, Dangdut Lebaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain