suria

Tenaga Luar Biasa Megadeth Hibur 3,500 Peminat

Vokal Dave Mustaine dan kehebatannya bermain gitar tidak mengecewakan. Foto Ihsan IME MALAYSIA

BARANGKALI kehadiran kumpulan rock metal terkenal Megadeth di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada malam Khamis adalah yang pertama dan terakhir.

Bukan kerana protes yang dilakukan terhadap kumpulan itu tetapi faktor usia kesemua anggota Megadeth yang sudah semakin lanjut - entah bila lagi mereka akan hadir mengadakan persembahan di negara ini.

Tetapi konsert yang dianjurkan oleh IME Malaysia ternyata tidak mengecewakan dengan aksi bertenaga bagi menghiburkan 3,500 peminat yang memenuhi Stadium Merdeka.

Persembahan bertenaga Megadeth tidak mengecewakan.

Janji vokalis utamanya Dave Mustaine yang akan memastikan peminat tidak akan kecewa dengan mereka benar-benar dikotakan dengan mempersembahkan 18 buah lagu!

Kelincahan anggota lain David Ellefson (bass), Kiko Loureiro (gitaris) dan Dirk Verbeuren (drum) juga tidak mengecewakan malah pada usia mereka ia harus diberi pujian kerana masih bertenaga dan bukannya membuat persembahan sekadar melepaskan batuk ditangga.

Lagu-lagu seperti Trust, Sweating Bullet dan Symphony of Destruction benar-benar menggamatkan apatah lagi apabila mereka mempersembahkan lagu keramat Megadeth iaitu Tornado yang dilancarkan pada tahun 1990.

3,500 peminat membanjiri Stadium Negara.

Pemilihan lagu lain pada malam itu seperti Wake Up Dead, She Wolf, Fatal Illusion, A Tout Le Monde dan Peace Sell juga mengasyikkan.

Jujurnya lagu-lagu dendangan Megadeth sebenarnya bukanlah berunsurkan jahat dan mampu merosakkan minda pendengar seperti didakwa tetapi ia banyak menyelitkan unsur-unsur kedamaian, nasihat, keamanan dan politik.

Tidak ketinggalan lagu-lagu daripada album terbaharu mereka Dystopia yang menjulang Anugrah Grammy pada Februari lalu.

Dirk Verbeuren dengan aksinya yang tersendiri.

Ditubuhkan pada tahun 1983, Megadeth memperkenalkan genre terbabit menerusi album pertama mereka yang diiktiraf sebagai Album Thrash Metal Terhebat Sepanjang Zaman.

Album Dystopia juga terjual sebanyak 49,000 unit dalam masa satu minggu menjadikan ia pencapaian tertinggi pernah diraih band ini sejak 1992.

Megadeth

Artikel Lain