suria

"Duit Habis, Tekanan Darah Pula Tak Stabil" - Vida

Vida mahu memastikan setiap pelaburan yang dikeluarkannya mendapat pulangan yang berbaloi.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Vida mungkin layak digelar sebagai 'ratu' penajaan program hiburan pada masa ini.

Namun pengasas produk kecantikan Vida Beauty itu adakalanya berhadapan masalah kesihatan gara-gara mahu mendapatkan pulangan yang sewajarnya selepas berhabis jutaan ringgit.

Akui Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman, situasi berkenaan kerap kali dihadapinya apabila berurusan dengan stesen penyiaran yang disifatkan terlalu 'berkira' ruang iklan untuknya.

"Setiap kali nak keluarkan tajaan, semestinya saya mahu perjuangkan hak saya. Kita keluarkan duit, tapi terhegeh-hegeh pula merayu nak iklankan produk.

"Sekarang ini saya terpaksa bawa alat ukur tekanan darah setiap kali nak berurusan dengan pihak seperti ini. Hakikatnya saya tak perlu buat tajaan untuk mereka," katanya kepada mStar Online.

Vida bersama barisan finalis ABPBH 3.0. -foto SHAARI CHE MAT / The Star

Vida, 46, ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 3.0 di Galeri Prima yang berlangsung pada Khamis.

Beliau ditanya mengenai tindakannya meluahkan rasa kecewa termasuk menangis di media sosial berhubung sekatan sebuah rancangan hiburan terbitan stesen televisyen tidak berbayar terhadapnya untuk mempromosikan produk jualannya.

Ditanya sama ada situasi itu berlaku kerana kelalaiannya memahami kontrak yang dipersetujui, Vida akur mengenai perkara tersebut.

"Tajaan ini sudah seperti makanan saya, bukan perkara baharu. Tapi saya tak sangka mereka begitu berkira dan 'kemut'.

"Tak terfikir pula mereka hanya beri klip promosi opening dan closing, saya memang tak sangka skrip pun mereka nak kira," katanya.

Selain itu jelas Vida, pada masa akan datang beliau akan memastikan setiap pelaburan yang dikeluarkan syarikatnya berbaloi.

"Saya kena lebih bijak. Bagi tajaan majlis anugerah kali ini, saya nak pastikan produk saya menjadi sebahagian daripada anugerah.

"Saya juga nak naik pentas, duduk bawah sahaja tak best, itu cara lama," katanya.

Datuk Seri Vida

Artikel Lain