suria

Mana 'Hilang' Adi Putra? Hanya Isteri Pertama Muncul Di Mahkamah

Adi memfailkan cerai terhadap isteri pertamanya, Zuhaidah Yusof.

KUALA LUMPUR: Adi Putra 'hilang' lagi? Empat perkataan itu cukup menggambarkan situasi di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Jumaat apabila kelibat pelakon itu tidak kelihatan untuk kali kedua.

Ia bagi kes permohonan cerai terhadap isteri pertamanya, Zuhaidah Yusof.

Zuhaidah atau lebih mesra dengan sapaan Aida hadir dan berada dalam mahkamah seorang diri kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum meninggalkan dewan mahkamah pukul 9.15 pagi.

Wartawan yang menunggu sebutan kes itu sempat bertanya kepada Aida mengenai kelibat Adi namun dia memberitahu pelakon itu tidak hadir.

Bagaimanapun wanita berusia 42 tahun itu enggan menjawab pertanyaan lain dan memberitahu dia perlu ke kaunter mahkamah untuk membuat bayaran.

Namun tidak dapat dipastikan bayaran apakah yang hendak dilakukan itu.

Sekumpulan wartawan menunggu di luar dewan mahkamah yang sepatutnya kes itu disebut. 

Hasil semakan wartawan di kaunter mahkamah seterusnya tidak menemui Aida dan dipercayai dia juga telah meninggalkan mahkamah.

Pihak mahkamah juga enggan mendedahkan perkembangan mengenai kes melibatkan pasangan selebriti itu.

Di mahkamah yang sama pada 31 Mac lalu, kes berkenaan sepatutnya didengar di hadapan Hakim Syarie, Izzat Syazli Mushid namun Adi atau Mohamed Hadi Putera Halim, 36, turut tidak muncul.

Adi yang berasal dari Singapura berkahwin dengan Aida pada 14 April 2006 dan tidak dikurniakan cahaya mata sebaliknya mempunyai seorang anak angkat Zara Adelia yang kini berusia lima tahun.

Adi kemudiannya berpoligami selepas menikahi Norshahida Dzolkifly, 33, pada 20 Jun 2016.

Aida pula sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Zul (Handy Black).

Adi Putra, Zuhaidah Yusof

Artikel Lain