suria

Sharifah Zarina Tak Serik Rakam Lagu Ketika Nama Semakin Tenggelam

Sharifah Zarina bakal muncul dengan lagu baharu tidak lama lagi. FOTO: LOW BOON TAT

KUALA LUMPUR: Kebanjiran ramai artis baharu yang mewarnai dunia hiburan tempatan tidak membantutkan hasrat Sharifah Zarina untuk sekali lagi mencuba nasib sebagai penyanyi.

Menurut Sharifah Zarina, 36, dia tidak serik untuk tampil dengan lagu baharu demi menaikkan semula namanya yang kian tenggelam dalam industri seni.

"Saya hadir dalam industri ini sebab minat, jadi saya tak perlu hiraukan perkara-perkara lain untuk kembali aktif. Malah saya juga tak pernah fikir persaingan artis baharu.

"Oleh itu tak timbul soal serik buat lagu. Malah saya rasa lebih rimas bila orang asyik tanya bila nak buat lagu baru," katanya kepada mStar Online pada Khamis.



Dari kiri Maria Tunku Sabri, Putra Amaris dan Sharifah Zarina yang terlibat menyertai percutian ke Pulau Boracay anjuran Grand Holidays Travel & Tours Sdn. Bhd.

Sharifah Zarina ditemui pada sidang media pelancaran program percutian ke Pulau Boracay bersama tiga selebriti di Toscana Medi Clinic, Publika di sini.

Selain Sharifah Zarina, percutian bersama peminat yang akan diadakan pada penghujung April depan itu akan turut disertai pelakon Putra Amaris dan personaliti televisyen, Maria Tunku Sabri.

Percutian berkenaan adalah dengan kerjasama Grand Holidays Travel & Tours Sdn. Bhd.

Bercerita lanjut mengenai hasratnya untuk kembali aktif, penyanyi yang popular dengan lagu Langit Ketujuh itu bagaimanapun mengakui sukar mendapatkan karya baharu sebaik lagu tersebut.

"Memang susah nak ulangi kejayaan lagu ciptaan Azmeer itu. Sampai sekarang pun orang tetap minta saya nyanyikan lagu berkenaan setiap kali menerima undangan persembahan pentas.

Sharifah Zarina.
"Sampaikan bila menyanyi di majlis perkahwinan pun orang minta lagu itu walaupun liriknya mengenai kekecewaan," katanya.

Bagaimanapun ibu kepada tiga orang anak ini berkata dia bakal berkolaborasi bersama penyanyi dan pencipta lagu Ippo Hafiz bagi menghasilkan single terbaharunya nanti.

"Projek ini masih diperingkat perancangan awal, saya baru hubungi Ippo Hafiz, saya suka sangat lagu-lagu dia.

"Tapi saya perlu tunggu sampai bulan April ini kerana dia agak sibuk. Masa itu nanti kami akan bicang lebih lanjut," katanya yang masih memilih untuk tampil dengan lagu berentak balada.

Cerita Sharifah Zarina lagi, dia mengharapkan supaya Ippo Hafiz dapat mencipta sebuah karya yang mirip lagu-lagu nyanyian penyanyi Indonesia, Krisdayanti.

"Baru sekarang dapat jumpa komposer yang lagunya memang sedap didengar.

"Jadi saya dah bagi gambaran kepada Ippo Hafiz bahawa saya mahu lagu seperti Krisdayanti," katanya yang akan mengeluarkan bajet sendiri bagi merealisasikan impiannya itu.

Sementara itu bagi mereka yang ingin menyertai percutian ke Pulau Boracay, maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan oleh tiga selebriti terlibat di media sosial masing-masing.
Sharifah Zarina

Artikel Sebelum

Artikel Lain