suria

Serik! Didie Alias Hati-Hati Pilih Kawan

Didie Alias lebih berhati-hati untuk berkawan. Foto SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Didie Alias lebih berhati-hati dalam memilih kawan kerana kebaikan yang dihulurkannya sering diambil kesempatan oleh orang lain.

Didie berkata sikapnya yang mudah mempercayai orang sebelum ini juga menyebabkan dia ditimpa beberapa masalah yang pada akhirnya merugikan diri sendiri.

"Saya akui memang saya mudah percayakan orang lain dan suka membantu orang tanpa saya selidik betul-betul niat mereka.

"Niat saya hanya satu apabila berkawan… ia untuk mengeratkan silaturahim dan tidak rugi kalau kita berbuat baik dengan orang lain.

"Tetapi apabila banyak kali terkena saya mula serik dan bersikap lebih selektif untuk berbaik-baik terutamanya dengan orang yang baru saya kenal," katanya kepada mStar Online.



Didie Alias kini sibuk dengan penganjuran Karnival Lefest.

Didie ditemui pada sidang media Karnival Lefest yang diadakan di Saloma Bistro di sini, Khamis.

Karnival itu akan diadakan di Stadium  Negeri, Kuala Terengganu pada 24 hingga 26 Mac ini.

Sebanyak 200 gerai termasuk milik selebriti yang menjual barangan mampu milik disediakan pada acara itu nanti termasuk pakaian, akaesori, makanan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Didie bagaimanapun berkata dia tidak menyalahkan sesiapa apabila ada pihak sering mengambil kesempatan terhadap dirinya kerana sikap mesra dan suka membantu orang lain adalah sikap yang ditanam dalam dirinya.

"Ia pengajaran untuk saya dan akan lebih berhati-hati pada masa hadapan," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai Karnival Lefest, Didie berkata pihaknya menyediakan platform perniagaan yang efektif dari segi jualan dan pemasaran untuk usahawan.



Antara mereka yang terlibat dalam penganjuran Lefest.

Pada acara itu nanti booth perniagaan juga disewa pada harga mampu milik bagi membantu peniaga-peniaga baharu yang ingin menyertai karnival itu.

"Kami menganjurkan Lefest ini keranan ingin membantu meringankan masalah dihadapi oleh usahawan dan kita menyewa booth hanya RM1,100 untuk tiga hari.

"Ini adalah sebagai platform untuk mereka menjalankan perniagaan menerusi karnival dalam menjana pendapatan," katanya.

Jelasnya lagi, karnival itu juga mendapat sokongan daripada rakan-rakan selebriti yang banyak membantu mempromosikan karnival dan produk usahawan itu sendiri.

Antara selebriti yang akan terlibat adalah Datin Alyah, Hafiz Hamidun, Lana Nodin, Lan Kristal, Lisdawati, Amar Asyraf, Encik Mimpi, Enot, Kiah Propa dan Jay Skoll of Lawak.

Selain Terengganu, karnival itu juga bakal diadakan di beberapa buah negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.
Didie Alias

Artikel Lain