suria

Suria FM Sentiasa Dalam Hati Tyzo

Tyzo memberitahu Suria FM sentiasa berada dihatinya dan gembira dapat kembali bersama stesen radio itu. Foto LOW PAY PHOON

PETALING JAYA: Penyampai radio Tyzo tidak berfikir panjang apabila ditawarkan untuk kembali Suria FM kerana stesen radio itu sentiasa dekat dihatinya.

Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris berkata, sebagai antara deejay terawal bersama stesen radio itu sejak 2007 banyak memori dicipta bersama Suria FM termasuk melihat perkembangannya sehingga ia dikenali dan mempunyai pengikut tersendiri.

"Alhamdulillah saya akhirnya kembali ke 'rumah' kerana saya tidak pernah melupakan Suria FM dan sentiasa berharap suatu hari nanti dapat menyertai keluarga di sini.

"Terlalu banyak memori yang tidak mungkin saya lupakan kerana saya berada di sana semasa ia sedang membina nama sehinggalah Suria FM pernah mencapai angka 2.8 juta pendengar.

Tyzo akan menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik pendengar.
"Saya mahu kembalikan zaman kegemilangan tersebut dan sama-sama membangunkan kembali Suria FM ke tahap lebih tinggi," katanya kepada mStar Online.

Tyzo menggendalikan segmen Ceria Petang Suria bersama Suraya yang bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 4 hingga 8 malam.

Untuk rekod Tyzo mula berkhidmat dengan Suria FM bermula 2007 sebelum kontraknya ditamatkan pada 2012.

Tyzo kemudiannya berkhidmat di Pi Mai FM sebelum bertugas sebagai deejay separuh masa di Selangor FM dari 2013 hingga Jun 2016.

Dalam pada itu, Tyzo yang sebelum ini terkenal dengan trademark Manja Manja Je memberitahu akan menggunakan pendekatan berbeza memandangkan dia kini bersiaran pada waktu petang.

Bagaimanapun katanya, dia masih Tyzo yang dikenali pendengar sebelum ini dan akan berusaha memenangi kembali hati pendengar.

"Alhamdulillah pendengar setia saya sebelum ini gembira apabila menerima perkhabaran saya kembali ke udara di Suria FM.

"Tetapi saya tidak akan bawa stail dahulu dan akan menggunakan pendekatan lebih sesuai sejajar dengan tugas saya yang bersiaran pada waktu petang," katanya.

Sementara itu, Tyzo berkata, selepas kontraknya tamat bersama Suria FM pada 2012 dia mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan iaitu mengeluarkan produk Buah Tunjuk Langit bersama rakan kongsinya.

Tyzo dan Suraya bersiaran menerusi segmen Ceria Petang Suria. 

Kata Tyzo, dia pada mulanya tidak menyangka akan terlibat dalam bidang perniagaan namun menganggap penamatan kontraknya di stesen radio tersebut ketika itu membuka jalan untuknya.

"Alhamdulillah perniagaan itu masih berjalan sehingga hari ini dan Insya-Allah saya dan rakan kongsi akan membuka kilang sendiri pada November depan.

"Walaupun ketika itu saya sedih juga kerana terpaksa berpisah dengan Suria FM namun Allah membuka jalan kepada saya dalam bidang perniagaan.

"Jika tidak kerana perkara itu saya mungkin masih berada di takuk lama," katanya.

Tyzo, Ceria Petang Suria, Suraya, Suria FM

Artikel Lain