suria

Ibu Hidap Sakit Buah Pinggang, Nabil Ahmad Sambut Raya Sederhana

Nabil Ahmad menyambut Syawal secara sederhana pada tahun ini.

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Nabil Ahmad memberitahu sambutan Aidilfitri pada tahun ini hanya akan disambut secara sederhana kerana kesihatan ibunya tidak mengizinkan.

Nabil berkata, sejak beberapa bulan lalu wanita berkenaan disahkan menghidap penyakit buah pinggan yang memerlukannya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

"Tahun ini kami sekeluarga sambut sederhana sahaja kerana kesihatan ibu saya pun tidak berapa baik ketika ini.

"Tumpuan kami akan lebih kepada keperluannya selain memastikan dia menjalani rawatan dialisis pada waktu ditetapkan," katanya kepada mStar Online.

Nabil ketika ini sedang menjalani ibadah umrah di Mekah bersama isterinya dan hanya akan pula pada Isnin ini.

Pemergian Nabil dan isteri ke tanah suci juga bagi menjalani penggambaran program Perjalanan Haji Nabil terbitan Astro Oasis untuk siaran pada Hari Raya Aidiladha.

Dalam pada itu, Nabil berkata, kebiasaannya ibunya akan sibuk menyediakan pelbagai juadah hari raya namun tahun ini keadaan itu akan berubah.

"Tahun ini kami adik-beradik yang akan sibuk di dapur menyediakan juadah namun akan tetap dipantau oleh ibu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nabil merupakan antara selebriti tempatan yang terlibat dalam alih suara filem Jurassic World dan membawakan watak sebagai Lowery Cruthers.

Filem itu bakal disiarkan dalam versi Bahasa Melayu pada 6 Julai depan sempena Hari Raya Aidilfitri bermula jam 9 malam di HBO (saluran 411) dan HBO HD (saluran 413).

Selain Nabil, selebriti yang terlibat ialah Nora Danish, Izzue Islam, Fahrin Ahmad, Hisyam Hamid, Fara Fauzana, Bront Palarae, Akhmal Nazri dan ramai lagi.

Nabil juga akan muncul dalam beberapa program hiburan sebagai pengacara iaitu MeleTOP Raya, Ceria Pop Star Raya, Gegar Vaganza Raya dan Carta Raya MeleTOP Era, sempena Aidilfitri nanti.

Nabil Ahmad, Jurassic World

Artikel Lain