suria

Semakin Dewasa, Tasha Mansahar Kurang Teruja Sambut Raya

Tasha Mansahar

PETALING JAYA: Pelakon Tasha Mansahar mengakui keterujaan untuk menyambut Hari Raya semakin berkurangan apabila dirinya semakin meningkat dewasa.

Pemilik nama sebenar Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 23, berkata, dia menyambut Hari Raya secara sederhana bersama keluarga sebelah bapanya di Kulai, Johor.

Tasha akan beraya di Kulai Johor.

"Hari raya saya sederhana sahaja dan hambar kerana saya rasa bila sudah dewasa ini keterujaan semakin kurang.

"Tahun ini seperti tahun-tahun lalu kami akan balik rumah keluarga ayah di Kulai, Johor kerana keluarga ibu saya bukan Islam," ujarnya.

Bagaimanapun, Tasha berkata, Hari Raya sahaja dia dapat bertemu semua ahli keluarganya termasuk sanak saudara.

Selain itu, Tasha berkata, setiap awal pagi raya, dia akan mencari makanan kegemarannya iaitu soto.

"Makanan paling utama yang saya cari ialah soto ayam, kalau tiada rendang atau lemang tidak mengapa asalkan ada soto.

"Kuih raya pula saya tidak berapa suka kerana terlalu manis, biasanya saya akan makan keropok-keropok sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Tasha berkata, dia mula memberi duit raya sejak berusia 20 tahun selepas mempunyai pendapatan sendiri sebagai artis.

"Saya sudah tidak dapat duit raya sejak menjadi penyanyi, malah kini giliran saya pula yang memberi duit raya kepada anak saudara.

"Selain itu, biasalah sudah bekerja perlu sediakan persiapan untuk ahli keluarga dan kami adik beradik berkongsi sediakan juadah kuih muih," ujarnya.

Tasha Mansahar

Artikel Lain