suria

"Kontroversi Konsert May & XPDC Perkara Biasa" - Mus

Mus (dua dari kanan) bersama anggota kumpulan May giat menjalani latihan untuk konsert May vs XPDC: Rentap Kasi Sentap.

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan May iaitu Mus menyifatkan kontroversi yang melanda konsert 'May vs XPDC: Rentap Kasi Sentap' yang dikatakan berdepan dengan beberapa masalah adalah perkara biasa dalam penganjuran sesebuah konsert berskala besar.

Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din berkata, dia yakin pihak penganjur iaitu ARD Management mampu menyelesaikan masalah yang wujud dan setakat ini segala perancangan berjalan seperti biasa.

"Saya berkeyakinan penuh konsert berkenaan akan diteruskan seperti dirancang biarpun kononnya terdapat beberapa masalah.

"Apa sahaja kemelut yang wujud saya yakin pihak penganjur dapat selesaikan dengan baik dan ia perkara biasa dalam penganjuran sesebuah konsert.

"Pada pihak kami (May) memang tiada masalah dan tidak sabar untuk menghiburkan peminat nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Terdahulu ARD Management memaklumkan konsert yang bakal berlangsung di tempat letak kereta Plaza Angsana, Johor Bahru pada 30 April ini ditunda kepada 1 Mei.

Pertukaran tarikh itu disebabkan pertembungan perlawanan bola sepak antara pasukan Johor dan Kedah.

May dan XPDC bakal mengegarkan peminat di Johor Bahru pada 1 Mei ini.

Pihak penganjur juga dikatakan berhadapan dengan masalah apabila vokalis XPDC iaitu Mael gagal dikesan.

Dalam pada itu, Mus berkata, keputusan ARD Management menunda konsert berkenaan adalah keputusan bijak kerana dapat memberi peluang kepada peminat untuk menghadiri kedua-dua acara berkenaan.

Malah kata Mus, ramai peminat berasa lega apabila konsert itu ditunda tanpa perlu membuat pilihan acara mana yang perlu dihadiri sekirang diadakan pada hari sama.

Sementara itu, Mus berkata, May kini sedang giat menjalani latihan untuk konsert berkenaan dan menjanjikan persembahan istimewa dan bertenaga.

"Latihan sudah pun bermula kerana kami ingin memberikan yang terbaik kepada peminat yang hadir nanti malah latihan 'battle' bersama XPDC dijanga diadakan pada 20 April ini," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, jurucakap penganjur konsert berkenaan yang dihubungi mStar Onliune berkata, pihaknya akan mempelawa Ali (Mpire) untuk sama-sama menyertai konsert berkenaan dan dalam masa yang sama masih menantikan harapan untuk mendapatkan Mael.

Harga tiket bagi menyaksikan konsert ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu RM700 (VVIP), RM100 (Rockzone), RM50 dan RM30.

Pembelian tiket dan tempahan boleh dibuat menerusi talian 016-9160809 atau 07-2328634.

Artikel Lain