suria

Erry Putra Ambil Cuti 3 Bulan Kerana 'Whatsapp'

Erry mengambil keputusan berehat selama tiga bulan daripada dunia lakonan bagi mempromosikan single terbaharunya.

PETALING JAYA: Pelakon Erry Putra menjelaskan tidak pernah memandang negatif terhadap kritikan segelintir pihak mengenai kredibilitinya sebagai seorang penyanyi biarpun mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.

Erry atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah @ Ahmad, 37, berkata, dia mengambil kata-kata tersebut sebagai pemangkin semangat untuknya terus menghasilkan lagu terbaharu untuk peminat kerana nyanyian adalah cintanya sejak awal menceburi bidang seni.

"Mungkin ramai tidak tahu tetapi saya bermula dalam industri ini sebagai penyanyi dan biarpun dilihat lebih menyerlah sebagai pelakon tetapi saya sebenarnya aktif menghasilkan lagu tema untuk drama bersiri dan telefilem.

"Apabila ada segelintir pihak yang memberikan komen negatif mengenai kredebiliti saya sebagai penyanyi ia sebenarnya tidak pernah melemahkan semangat saya untuk terus bergiat aktif dalam bidang ini sebaliknya ia adalah pemangkin semangat buat saya," katanya kepada mStar Online.

Erry pernah menganggotai kumpulan Boyz 'R' Us pada tahun 1999 sebelum kumpulan itu berpecah membawa haluan masing-masing pada 2002.

Erry bergandingan dengan penyanyi baharu Meerlyn dalam Whatsapp.

Dalam pada itu, Erry memberitahu dia mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan selama tiga bulan bagi mempromosikan single terbaharunya bersama penyanyi baharu, Meerlyn berjudul Whatsapp.

Jelas Erry, sepanjang tempoh itu dia akan memberikan tumpuan kepada promosi bersama media dan stesen radio selain mengadakan persembahan untuk peminat.

"ini bukti saya serius dalam bidang nyanyian dan sanggup berkorban dengan menolak tawaran berlakon untuk jangka masa tiga bulan ini bagi mempromosikan Whatsapp kepada peminat.

"Pelbagai aktiviti bertemu media, stesen radio dan sebagainya telah diaturkan untuk tempoh itu dan berharap Whatsapp dapat diterima baik pendengar," ujarnya.

Bercakap mengenai Whatsapp, Erry berkata, lagu berkenaan yang dihasilkannya sendiri tiga tahun lalu itu asalnya diberi judul Gadisku Lari Lagi namun ditukar kerana ia lebih ringkas dan mudah diingati pendengar.

Meerlyn dan Erry akan giat mempromosikan lagu terbaharu mereka.

Kata Erry lagi, dia mengambil masa selama tiga tahun untuk melancarkan single berkenaan kerana sebelum ini terlalu sibuk dengan aktiviti lakonan.

"Lagu berkenaan saya hasilkan sepenuhnya dan idea disebaliknya adalah berkisarkan mengenai situasi yang ramai daripada kita hadapi ketika menggunakan aplikasi Whatsapp.

"Biarpun telah tiga tahun disimpan ia juga memberi peluang kepada saya untuk membuat penambahbaikkan seperti menampilkan Meerlyn dalam lagu tersebut yang sebelum ini saya rakamkan secara solo," jelasnya yang sebelum ini popular menerusi lagu Macam Cantik Macam Comel.

Sementara itu, Erry berkata, dia memilih Meerlyn sebagai pasangan duetnya kerana terpegun dengan bakat nyanyian wanita berusia 26 tahun itu selain yakin dia mempunyai masa depan cerah sebagai penyanyi.

"Saya sudah mengenali Meerlyn agak lama sebelum ini dan apabila saya sedang dalam proses merakamkan Whatsapp timbul idea untuk menampilkan dia dalam lagu tersebut.

"Bakat yang dimilikinya sangat bagus dan sayang jika ia tidak diketengahkan tambahan pula vokalnya cukup sesuai dengan lagu ini," katanya.

*Penaja Pakaian Erry Putra : WEUL


Erry Putra, Meerlyn, Whatsapp.

Artikel Sebelum

Artikel Lain