suria

Arja Lee, Izreen Azminda Dan Hairi Safwan Dipilih Jayakan Mek Mulung

Arja Lee antara pelakon yang akan menjayakan pementasan teater tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan bermula 28 Februari ini. Foto: The Star/IBRAHIM MOHTAR

PETALING JAYA: Pemilihan pelakon untuk pementasan teater tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan pada 28 Februari hingga 1 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya sememangnya dipilih daripada kalangan pelakon yang fasih berbahasa Kedah. 

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli berkata, pelakon Arja Lee, Izreen Azminda dan Hairi Safwan adalah pilihan yang tepat memandangkan mereka mempu bercakap  loghat Kedah dengan baik. 

"Pemilihan pelakon sememangnya kita mencari yang sudah fasih bercakap loghat Kedah kerana teater ini merupakan teater tradisional bangsawan yang agak sukar. 

"Jika ambil yang tidak tahu bercakap loghat Kedah sudah tentu memerlukan masa yang agak panjang untuk memberi latihan supaya ia dapat menguasai loghat itu," ujarnya kepada mStar Online. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Teater Tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac depan. 

Mek Mulung merupakan teater tradisional masyarakat Melayu yang berasal di negeri Kedah Darul Aman. 

Sementara itu, pengarahnya Saipol Bahari berkata, cabaran utama adalah daripada segi penggunaan bahasa loghat tersebut yang sukar diterjemah untuk difahami oleh penonton. 

Jelasnya, proses untuk mereka sendiri mencari maksud sebenar dalam bait-bait ayat pada naskah asli Mek Mulung mengambil masa agak lama. 

"Penggunaan bahasa bangsawan dengan loghat Kedah memang menjadi cabaran utama kami. Kami sendiri mengambil masa agak lama untuk mentafsir bait-bait kata yang ada dalam naskah ini. 

"Bagi menyesuaikan dengan penonton kemungkinan kita akan mengubah suai sedikit dan memaparkan sari kata pada skrin sebelah kanan dan kiri panggung," ujarnya. 

Dalam pada itu, Arja Lee berkata, sebagai pelakon utama, dia agak gementar untuk membawakan watak Putera Cahaya Bulan. Katanya, dia akan berada di Kedah selama seminggu bagi memberi sepenuh perhatian dan latihan yang diadakan di sana. 

"Produksi ini semua bekerja di Kedah, jadi saya terpaksa membuat latihan di sana. Selepas ini saya akan tinggal seminggu di Kedah bagi melancarkan percakapan saya dengan loghat negeri itu. 

"Saya berasal daripada Pulau Pinang dan loghat Pulau Pinang sedikit berbeza dengan Kedah, disebabkan itu mereka meminta saya untuk tinggal di sana seminggu supaya dapat semangat negeri itu," ujarnya. 

Mek Mulung, Loghat Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Lain