suria

Padam Gambar Sharnaaz Bukan Sebab Cemburu - Anis Al Idrus

Anis Al-Idrus lebih selesa Sharnaaz buka mulut tentang hubungan mereka.
PETALING JAYA: Pelakon Anis Al Idrus menjelaskan tindakan pelakon Sharnaaz Ahmad mengucapkan tahniah kepada bekas kekasihnya iaitu penyanyi Shila Amzah di Anugerah Juara Lagu 29 pada 28 Januari lalu bukan punca hubungan mereka berantakan.

Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 27, berkata, dia sudah terlalu dewasa untuk bersikap cemburu seperti itu, malah Sharnaaz sendiri sudah menjelaskan kepadanya tujuan ucapan tahniah hanya atas dasar profesional sebagai rakan artis semata-mata.

"Saya padam gambar-gambar tersebut bukan kerana cemburu Sharnaaz dengan bekas kekasih dia, bagi saya perkara itu sudah lama berlalu dan ia adalah masa lalu dia.

"Lagi pula Sharnaaz sendiri ada beri penjelasan pada saya kenapa dia berbuat demikian dan ia hanya atas dasar profesionalisme sahaja.

"Cuma ada perkara lain yang saya rasa tidak perlu berkongsi dengan peminat dan ianya terlalu peribadi antara saya dan Sharnaaz," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Anis berkata demikian ketika diminta mengulas tentang hubungannya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad yang dikhabarkan sudah putus.

Hubungan tersebut dikatakan mula berantakan apabila Sharnaaz mengucapkan tahniah kepada Shila Amzah di Twitter selepas Anugerah Juara Lagu 29 lalu.

Anis kononnya cemburu dengan perkara itu dan bertindak memadamkan kesemua gambar-gambar mesra mereka. Manakala Sharnaaz pula memuat naik gambar-gambar berkaitan dengan luahan kekecewaan di laman sosial Instagram miliknya.

Mengulas perkara itu, Anis berkata, dia lebih selesa jika pelakon itu yang membuka mulut dan menjelaskan keadaan hubungan mereka kepada umum.

Katanya, sejak berkawan rapat dengan Sharnaaz, dia jarang mengeluarkan sebarang kenyataan tentang status hubungan percintaan tersebut.

"Saya tidak mahu komen tentang hubungan kami dan lebih baik biar Sharnaaz sahaja yang jelaskan kerana dia lelaki," ujarnya.

Sementara itu, Anis berkata, dia kini sibuk mengacara rancangan Safiyyah terbitan RTM yang bakal ditayangkan pada April depan.

Selain itu, katanya, dia sedang sibuk dengan proses pembukaan butik Anis Al-Idrus Wardrope yang bakal beroperasi di Alam Avenue 2, Shah Alam.

Anis Al Idrus, Sharnaaz Ahmad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain