suria

Sherry Ibrahim Akui Bukan Mudah Uruskan Kerjaya Sendiri

Sherry Ibrahim.

PETALING JAYA: Pelakon Sherry Ibrahim mengakui bukan mudah untuk menguruskan kerjaya seninya selepas mengambil keputusan meninggalkan syarikat pengurusannya Laugh Out Loud (LOL) pada akhir tahun lalu.

Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 32, berkata, sejak bergerak sendiri banyak perkara yang perlu diuruskan sendiri sehingga menyebabkan sesuatu urusan menjadi kelam kabut.

"Sebelum ini saya sudah terbiasa ada orang yang uruskan karier saya tetapi apabila kena buat semua perkara sendiri baharu tahu susah dan senang menguruskan kerjaya sendiri.

"Mungkin kerana saya masih baharu menguruskan kerjaya sendiri dan mungkin selepas ini saya dapat menyesuaikan diri dan kerja-kerja lebih teratur," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Sherry berkata, biarpun kadang-kala dia tidak dapat menguruskan pelbagai perkara dalam satu masa namun dia tidak mahu mengalah kerana ini adalah peluangnya untuk berdikari tanpa bantuan orang lain.

Hubungan Sherry dengan bekas pengurusannya masih kekal baik.

Malah kata Sherry, dia sentiasa positif apabila timbul sesuatu masalah dan yakin dengan bergantung kepada diri sendiri dia mampu menguruskan kerjayanya dengan baik selepas ini.

"Kadang-kadang tertekan juga tetapi saya sentiasa bersikap positif dan ini adalah peluang saya untuk berdikari," ujarnya.

Sementara itu, Sherry berkata, hubungannya dengan bekas pengurusannya kekal baik dan tidak pernah timbul sebarang masalah peribadi di antara mereka.

"Saya keluar daripada LOL dengan persetujuan bersama dan tidak pernah ada apa-apa isu di antara kami. Malah saya masih berhubung dengan Dafi dan Afiq," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sherry bakal muncul dengan drama bersiri terbaharu berjudul Keluarga Karaoke bergandingan dengan Raja Ema, Elyana, Elfaeza Ul-Haq dan Zarina Zainuddin.

Ia bakal bersiaran bermula 9 Februari depan pada pukul 10 malam di saluran Mustika HD.

Sherry Ibrahim.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain