suria

Amy Mastura Terus Terima Watak Datin Biarpun Dikritik

Amy Mastura akan perbaiki lakonan dalam usaha memperhebatkan wataknya sebagai seorang Datin.

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Amy Mastura tidak serik untuk membawakan watak datin biarpun lakonannya dengan peranan itu dalam drama Maafkan Jika Aku Tak Sempurna yang disiarkan di TV3 pada Oktober lalu dikritik penonton.

Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 44,  berkata, dia yakin pihak produksi dan pengarah memilihnya untuk membawakan sesuatu watak adalah berdasarkan kemampuan yang ada pada dirinya.

"Ramai penonton yang mengkritik dan menganggap saya tidak layak membawa watak sebagai datin dalam drama tersebut. Saya tidak serik dan terbaru memang saya akan bawa watak sama dalam drama berjudul Bencinta yang akan disiarkan di TV3 tidak lama lagi.

"Bagi saya kalau produksi atau pengarah itu memilih saya maka mereka yakin tentang keupayaan saya untuk membawa watak itu," ujarnya.

Bagaimanapun, Amy berkata, dia mengambil kritikan tersebut sebagai sesuatu teguran yang positif dan akan memperbaikinya.

Dia juga akan lebih banyak membuat kajian tentang karekter seseorang datin melalui drama-drama sebelum ini.

"Bila ada teguran sebegini sudah tentu saya akan berusaha untuk memperbaikinya. Lagi pula saya sudah kurangkan watak gila-gila ketika membawa karektor seperti itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Amy mengakui tidak terlalu memilih daripada segi watak atau meletakkan sebarang syarat dalam menerima tawaran berlakon.

Dia akan terima jika tawaran tersebut tidak menjejaskan masanya bersama keluarga.

"Saya seorang yang tidak terlalu memilih atau letak macam-macam syarat jika ingin berlakon. Kadang-kadang watak pun saya tidak tanya.

"Apa yang penting jika ia tidak menjejaskan masa bersama keluarga dan penggambaran pula di sekitar Kuala Lumpur, saya akan terima," ujarnya.

Mengenai perkembangan nyanyian, Amy bakal keluar dengan single terbaharu berjudul Menari Ler ciptaan Ardif Johari tidak lama lagi. 

Amy Mastura

Artikel Lain