suria

Ainul Aishah Pernah Tolak Tawaran Lakonan Kerana Perniagaan

Ainul Aishah
PETALING JAYA: Pelakon Ainul Aishah pernah menolak lebih daripada 10 buah tawaran lakonan sebelum ini semata-mata ingin memberi fokus terhadap perniagaan biskut Ainul A Cookies.

Ainul atau nama sebenarnya Ainul Aishah Azizun, 29, berkata, dia tidak sangka khidmatnya sebagai pelakon masih lagi diperlukan dan kerana itu dia membuat keputusan untuk kembali aktif di bidang seni selepas tiga tahun berehat.

"Sepanjang tiga tahun fokus dengan perniagaan, ada saja tawaran lakonan drama yang diberi.

"Sampaikan saya tidak larat nak tolak dah. Yelah, takut nanti orang dah tak mahu panggil saya berlakon lagi.

"Dan Alhamdulillah, sejak bulan Februari 2014 hinggalah sekarang, saya terlibat dengan pelbagai penggambaran drama berlakon," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, tambah Ainul, dia juga bersyukur kerana produser drama masih lagi mempercayai bakatnya meskipun ramai pendatang baru dalam industri hiburan tempatan.

Sementara itu, Ainul berkata, memandangkan dia mula aktif di bidang lakonan, tahun 2015 juga akan membuatkan jadualnya lebih padat.

Ini kerana, dia akan mengembangkan lagi pasaran perniagaan biskut Ainul A Cookies selain membuka butik pakaian sendiri tidak lama lagi.

"Sebelum ini saya fikir, apabila nak kembangkan perniagaan, kene fokus satu persatu dahulu.

"Tetapi saya tak mahu tinggalkan dunia seni lagi kerana ia sudah menjadi darah daging saya. Maka bidang seni dan perniagaan akan saya seiringkan. Doakan kejayaan saya, Insya-Allah," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Ainul bakal muncul menerusi filem Pilot Cafe pada April depan. Selain itu, dia juga bakal terbabit dengan penggambaran drama Fajar Di Bukhara, arahan Zul R.
Ainul Aishah

Artikel Berikut

Artikel Lain