Penerbit eksekutifnya, Zetty Alia, berkata, drama bersiri tersebut mendapat lebih satu juta tontonan dan bertambah setiap kali ia bersiaran.
"Sejak episod pertama disiarkan ia mendapat rating 1.3 juta dan angka itu bertambah setiap minggu ia bersiaran. Ini bermakna, biarpun ia dikritik tetapi masih menjadi perhatian dan pilihan penonton.
"Kritikan terhadap drama itu turut menyumbang kepada lebih ramai penonton baharu yang ingin menyaksikan apa cerita sebenar," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, pada Jumaat.
Zetty berkata demikian ketika diminta mengulas tentang reaksi negatif penonton drama Suamiku Encik Sotong lakonan Sharnaaz Ahmad dan Amyra Rusli yang ditayang setiap Isnin, pukul 10 malam menerusi saluran Astro Ria (104) dan Maya HD.