suria

Kumpulan Radio Star Lantik Agensi Antarabangsa Ukur Rating

Kudsia Kahar

PETALING JAYA: Kumpulan Radio Star telah melantik sebuah syarikat antarabangsa iaitu GfK untuk menjalankan kajian terhadap pendengar radio bagi empat stesen di bawah syarikat berkenaan iaitu  Red FM, Suria FM, 988 dan Capital FM.

Kaji selidik itu bagi ukuran pendengar sepanjang tempoh 2014.

Ketua Pegawai Operasinya, Kudsia Kahar berkata,  sebelum ini pihaknya menggunakan perkhidmatan Nielsen yang bergantung kepada penggunaan buku harian dalam kaedah penyelidikan mereka.

Bagaimanapun kali ini pihaknya menjalinkan kerjasama dengan GfK yang diakui berpengalaman dalam menguruskan kaji selidik rating radio di beberapa negara seperti Jerman, Belanda dan Australia.

Pengenalan e-diari bagi komputer, tablet dan telefon pintar yang menggunakan internet, membenarkan GfK untuk memperoleh data terperinci daripada pendengar online atau melalui telefon mudah alih.

“Pendekatan ini sesuai dengan perubahan dalam landskap media dan gaya hidup terkini,” katanya kepada mStar Online dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Katanya, GfK telah membuktikan keberkesanannya dalam mengukur jumlah pendengar radio di Australia, yang ternyata mempunyai industri radio yang dinamik.

Ujarnya, pada ketika ini tidak dapat disangkal orang ramai lebih banyak mendengar radio secara dalam talian dan proses kajian juga perlulah seiring dengan perubahan itu.

Tambah Kudsia, Kumpulan Radio Star tidak ragu-ragu untuk mengambil langkah ini kerana ia dapat membantu dalam memahami trend pendengar sementara kaedah penyelidikan yang digunakan tidak terlalu berbeza, sebaliknya ia lebih terkini dan terperinci.


 

Artikel Sebelum

Farhan Juara Da'i Musim Kedua

Artikel Lain