suria

Pita Hati Enggan Dibayangi M.Nasir

Kumpulan Pita Hati dianggotai oleh tiga anak Datuk M.Nasir.

PETALING JAYA: Kumpulan muzik baharu iaitu Pita Hati berasa gembira apabila muzik lagu yang dibawakan mereka tidak dibayangi populariti Datuk M.Nasir walaupun tiga anggotanya merupakan anak kepada seniman itu.

Vokalisnya, Ilham berkata, sejak menubuhkan Pita Hati dua tahun lalu, dia bersama dua beradiknya Yassin (dram) dan Hidayat (gitar) mahu mengelak daripada bayangan bapa mereka.

Katanya, penghasilan album EP berjudul Bintang Biru Kristal Salju sebelum ini sebagai bukti mereka langsung tidak mengaitkan nama M.Nasir dalam memberikan respon terhadap EP berkenaan.

"Kami memang sedaya upaya mahu mengelak daripada bayangan ayah kami kerana rasa tidak adil pula buat dua ahli lain.

"Bagaimanapun, Alhamdulillah kerana sejak muncul dengan album EP dua tahun lalu, respons yang diberikan tiada kaitan langsung dengan M.Nasir. Kiranya kami berjayalah kan," kata Ilham

Ilham ditemui pada majlis pelancaran album sulung Pita Hati  berjudul Fonetik Anak Candal di studio kumpulan tersebut yang terletak di Ara Damansara di sini. 

Kumpulan itu bernaung di bawah syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd.

Selain Ilham, Hidayat, dan Yassin yang merupakan anak hasil perkahwinan M.Nasir dengan Allahyarham Junainah Johari, dua lagi ahli Pita Hati adalah Zahar (gitar) dan Masrin (bas).

Mengenai album Fonetik Anak Candal, ia memuatkan sebanyak 10 buah lagu iaitu Krisendo Slendro, Nafas, Cahaya Dalam Buta, Hati-Hati Ahmad, Olivia, Burung Dalam Kaca, Bicara Dan Susunkata, Akhirnya Kita Sendiri, Bintang Biru Kristal Salju dan Melayar.

Kata Yassin, lagu Bicara dan Susun Kata merupakan lagu yang paling mencabar semasa sesi rakaman dilakukan malah antara lagu berunsur melankolik dalam album tersebut.

"Dua lagu ini memberi 'old vibe mood'. Ia menceritakan tentang perjalanan minda. Seakan-akan sebuah monolog kerana liriknya merupakan interaksi antara manusia.

"Liriknya itu juga ada elemen sindiran dan kritikan," ujarnya.

Beritahu Masrin pula, sepanjang album itu dihasilkan, mereka cukup serius dan komited walaupun mempunyai masalah kekangan kewangan.

"Kami harap album ini dapat diterima ramai. Hasil usaha kerja yang kami lakukan adalah untuk mendapatkan kualiti yang terbaik," ujarnya.

Sementara itu, kumpulan tersebut akan mengadakan siri jelajah ke 10 lokasi di seluruh negara termasuklah Singapura bagi mempromosikan album mereka pada Jun depan.

Pita Hati, M.Nasir

Artikel Lain