suria

Istana Budaya Jawab Tuduhan Bunga Citra Lestari

Bunga Citra Lestari terkilan apabila pihak penganjur membatalkan penglibatannya dalam Konsert Stanza Cinta lalu.

PETALING JAYA: Tuntutan bayaran yang tinggi menjadi punca penganjur konsert Stanza Cinta iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Istana Budaya tidak dapat memberi ruang kepada penyanyi dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari untuk menyertai persembahan itu.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, penganjur dan juga artis berkenaan juga tidak pernah menandatangani sebarang kontrak sebagai tanda persetujuan untuk membawa artis berkenaan ke negara ini.

"Kami menghubungi Bunga untuk bertanya tentang bayaran dan harga dia agak tinggi, sementara pihak UUM tidak mampu untuk membayarnya dengan harga itu.

"Tidak lama selepas itu kami terus menghubunginya semula dan membatalkan hasrat tersebut. Tiada sebarang kontrak dibuat antara kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Mohamed Juhari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bunga Citra Lestari yang melahirkan rasa terkilan tidak dapat menjayakan Konsert Stanza Cinta di Istana Budaya pada 4 dan 5 April lalu.

Mohamed Juhari
Mohamed Juhari Shaarani


Bunga juga mendakwa dia telah menolak beberapa tawaran di Indonesia bagi menjayakan konsert tersebut.

Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, konsert Stanza Cinta yang dianjurkan bukan sebuah persembahan kormersial seperti konsert Afgan, Marcell dan Dayang Nurfaizah sebaliknya sebuah konsert ulang tahun dianjurkan universiti.

"Ia sebuah konsert yang memperuntukan bajet rendah tetapi saya yang memberi idea untuk membawa Bunga dalam konsert itu kerana dia ada nilai kormersial.

"Namun apabila harga tinggi, ia tidak mencapai persetujuan pihak universiti dan akhirnya kami menggantikan dia dengan penyanyi tempatan sahaja," katanya.

Konsert Stanza Cinta yang berlangsung pada 4 dan 5 April lalu itu dijayakan oleh Jaclyn Victor, Amy Search, Noh Salleh, Adira dan Haziq.

Dalam pada itu, Mohamed Johari berkata, belum ada sebarang perancangan untuk membawa artis Indonesia untuk beraksi di pentas Istana Budaya buat masa ini.

"Kutipan sangat perlahan untuk konsert. Konsert Glenn Fredly yang sepatutnya berlangsung malam ini (Rabu) terpaksa dibatalkan kerana kurang sambutan," ujarnya.

 

Artikel Lain