suria

Shah Rukh & Madhuri Janji Aksi Hebat Di Stadium Merdeka Esok

Shah Rukh Khan (kanan) bersama Madhuri Dixit.
Shah Rukh Khan (kanan) bersama Madhuri Dixit.

KUALA LUMPUR: Bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan Konsert Temptations Reloaded in Malaysia pada malam Sabtu ini walaupun kecederaan pada kaki kirinya belum sembuh sepenuhnya.

Shah Rukh, 48, berkata, beliau yakin dapat memberikan aksi bertenaga pada persembahan itu dan tidak akan menghampakan semua peminat yang hadir.

"Itu bukan alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik yang sudah dirancang sejak tahun lalu.

"Kecederaan pada kaki saya sudah beransur pulih dan saya yakin dapat menari dengan baik pada konsert itu nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Hotel Ritz-Carlton di sini, Jumaat.

Turut hadir pelakon Madhuri Dixit yang pertama kali ke negara ini untuk mengadakan persembahan bersama-sama Shah Rukh.

Konsert Temptations Reloaded in Malaysia yang bakal berlangsung selama dua jam itu akan diadakan di Stadium Merdeka di sini.

Selain Shah Rukh dan Madhuri, konsert berkenaan turut menampilkan Rani Mukherji, Yo-Yo Honey Singh, Arijit Singh dan Meiyang Chang.

Shah Rukh mengalami kemalangan ketika penggambaran filem Happy New Year pada Januari lalu yang diarahkan oleh Farah Khan sehingga terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.

Sementara itu, Madhuri berkata, dia teruja pertama kali datang ke negara ini dan lebih istimewa ia turut disertai oleh Shah Rukh yang banyak bergandingan dengannya dalam filem seperti Dil To Pagal Hai dan Duplicate.

"Penduduk di negara ini sangat ramah dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan peminat pada konsert itu nanti," katanya.

Tambah Madhuri, dia juga berharap dapat mencuba makanan tempatan dan membeli-belah terutama pakaian batik dan songket.

Terdahulu, konsert ini sepatutnya berlangsung 11 Oktober 2013 di Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi terpaksa ditunda.

Ia berikutan pertembungan tarikh kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke negara ini namun kedatangan Obama itu dibatalkan

Rombongan Shah Rukh tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pukul 7.40 pagi Jumaat dari Mumbai, India.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain