suria

TV3 Anjur Pertandingan Drama Pendek

Sherina bersama para selebriti yang akan terlibat dengan DFKL. Foto RICKY LAI
Sherina bersama para selebriti yang akan terlibat dengan DFKL. Foto RICKY LAI
Sherina bersama para selebriti yang akan terlibat dengan DFKL. Foto RICKY LAI

KUALA LUMPUR: TV3 akan mengadakan pertandingan Drama Pendek menerusi Festival Drama Kuala Lumpur (DFKL) pada tahun hadapan bersempena ulang tahun ke-30 saluran televisyen itu.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin, pertandingan berkenaan akan bermula pada 1 November hingga 30 Disember 2013 yang dibuka untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Panjang drama yang disyaratkan hanyalah lima minit bertemakan kehidupan, percintaan dan komedi, berkisar realiti kehidupan masyarakat Malaysia.

"Objektif kami menganjurkan pertandingan ini bagi menggalakkan golongan amatur yang sering memuat naik pelbagai video di YouTube dalam usaha melihat idea-idea baru yang lebih segar.

"Tiga pemenang yang dipilih akan diberi slot selama lima minit untuk karya mereka disiarkan di TV3," katanya pada sidang media yang diadakan di Terrace, pusat beli-belah Bangsar (BSC) di sini pada Rabu.

Menurut Sherina, selain berpeluang menyiarkan hasil karya di televisyen, pemenang tempat pertama akan mendapat RM10,000, tempat kedua, RM5,000 manakala peserta tempat ketiga akan menerima RM3,000.

Sekiranya karya mereka benar-benar berbakat, TV3 akan memberi peruntukan bagi membolehkan pemenang menghasilkan karya untuk disiarkan di mana-mana slot saluran televisyen itu.

Karya drama pendek yang dihasilkan boleh dihantar menerusi www.veedo.my.

DFKL, merupakan sebuah acara yang julung kali diadakan dengan penglibatan karyawan industri kreatif termasuklah pengarah, penulis skrip, pelakon dan pengacara.

Sebelum berlangsungnya pertandingan berkenaan, TV3 dan juga TV9 akan mengadakan siri jelajah ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi tujuan promosi bermula 2 hingga 16 Disember depan.

Atas tujuan itu TV3 juga akan menganjurkan bengkel yang dikelolakan oleh penggiat seni berpengalaman seperti Khabir Bhatia, Azma Aizal, Ahmad Idham dan Rosyam Nor.

Berikut adalah 11 IPT yang terlibat dengan bengkel DFKL

2 Disember 2013 : Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Universiti Selangor (UNISEL)

4 Disember 2013: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM)

6 Disember 2013: Kolej Universiti Shahputra (UCSA) dan Kolej Antarabangsa IKIP

10 Disember 2013: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka dan Universiti Multimedia Melaka (MMU)

12 Disember 2013: Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Johor dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor

16 Disember 2013: Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain