suria

Lakonan Aeril Zafrel Dalam Filem Hollywood Tidak Tersekat Selepas Dalami Islam

KUALA LUMPUR: Pelakon Aeril Zafrel menganggap langkahnya mendalami ilmu agama tidak menyekat untuk dia pengembangkan kerjaya seni pada peringkat antarabangsa.

Aeril atau nama sebenarnya Suharil Suhari, 25, yang membintangi sebuah filem Hollywood menyifatkan ilmu agama yang dipelajari menjadi bekalan kepadanya untuk lebih menjaga batasan ketika berlakon dan pergaulan.

"Saya sudah setahun mendalami ilmu agama Islam di sekolah-sekolah pondok sehingga ke Indonesia dan Terengganu untuk menjadikan diri agar lebih baik.

"Tapi saya tidak berhenti berlakon, cuma saya kini lebih banyak menjaga batas lakonan, kalau boleh tidak mahu adegan-adegan berpelukan," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.

Dalam pada itu, Aeril menganggap adegan intim, bersentuhan dan berpeluk yang dilakonkannya dalam sebuah filem Hollywood di samping aktres handalan, Christina Ricci dan Sharon Stone adalah sekadar teknik kamera semata-mata.

Katanya, dia sudah berbincang dengan pengarah filem tersebut tentang batas-batas lakonan yang tidak boleh dilakukannya.

"Sebelum bersetuju untuk berlakon saya sudah awal-awal beritahu tentang apa yang tidak boleh saya buat terutamanya mengenai adegan cium atau atas ranjang.

"Mereka sangat memahami dan kebanyakan adegan berpelukan atau cium itu hanya teknik kamera yang dilakukan agar nampak seperti benar-benar terjadi," katanya.

Jelas Aeril, biarpun berlakon di bawah produksi luar negara, namun dia tetap menjaga sensitiviti masyarakat di negara ini.

Bercerita tentang filem tersebut, Aeril menganggap peluang berlakon bersama produksi berkenaan memberi pengalaman paling berharga buatnya.

"Penggambaran sudah selesai dan hanya tinggal beberapa proses akhir saja lagi dan saya akan ke sana dalam masa terdekat ini," katanya.

Muzik video itu akan ditayangkan di saluran MTV tidak lama lagi sebagai promosi awal filem romantik itu yang menjalani penggambaran di London, England.

Artikel Lain