suria

Arnold Schwarzenegger Mahu Berbaik Semula Dengan Isteri

Arnold Schwarzenegger
Arnold Schwarzenegger
Arnold Schwarzenegger

AKTOR Arnold Schwarzenegger dilaporkan merayu kepada isterinya Maria Shriver untuk memulihkan semula hubungan mereka walaupun pasangan itu dikatakan sedang melalui proses rundingan kes perceraian mereka.

Bintang filem The Expendables 2 itu ditinggalkan isterinya selepas dia dikesan mempunyai seorang anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan pembantu rumah mereka iaitu Mildred Beana, kira-kira 14 tahun lalu.

Laman web TMZ melaporkan, Schwarzenegger memohon kemaafan dan mahu berbaik semula dengan Shriver pada minggu lalu. Bagaimanapun, Shriver enggan memaafkan perbuatan suaminya itu.

Difahamkan juga, wanita itu berdepan kesulitan untuk berbincang mengenai penyelesaian perceraian mereka kerana sikap Schwarzenegger yang tidak memberikan kerjasama.

“Arnold seorang yang kedekut terhadap Maria dan anak-anak mereka,” kata satu sumber.

Satu lagi sumber menambah, aktor itu menyelesaikan kes perceraiannya seperti urusan perniagaan.

Dilaporkan, Shriver tidak akan mendapat bahagiannya daripada keuntungan jualan buku autobiografi aktor itu, Total Recall: My Unbelievably True Life Story, walaupun sebahagian besar kandungan buku itu berkisar mengenai hubungan mereka.

Sebelum ini, Schwarzenegger pernah mengakui hubungan sulit itu merupakan perkara paling bodoh yang pernah dilakukan dalam perkahwinannya.

“Saya rasa ia (hubungan sulit) adalah perkara paling bodoh yang pernah saya lakukan. Ia perbuatan yang teruk. Perbuatan saya menyakitkan Maria dan anak-anak,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain