suria

Kudsia Kahar Sertai Kumpulan Radio The Star

Kudsia Kahar (barisan belakang, tiga dari kiri) bersama Adiwati (belakang dua dari kiri) dan deejay Reza (duduk dua dari kiri) kini menjadi ahli keluarga Suria FM.
Kudsia Kahar (barisan belakang, tiga dari kiri) bersama Adiwati (belakang dua dari kiri) dan deejay Reza (duduk dua dari kiri) kini menjadi ahli keluarga Suria FM.
Kudsia Kahar (barisan belakang, tiga dari kiri) bersama Adiwati (belakang dua dari kiri) dan deejay Reza (duduk dua dari kiri) kini menjadi ahli keluarga Suria FM.

KUALA LUMPUR: Kumpulan media The Star mengumumkan penyertaan Kudsia Kahar sebagai Timbalan Ketua Pegawai Penyiaran kumpulan media itu berkuat kuasa 16 Julai lalu.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah dalam majlis berbuka puasa anjuran stesen radio tersebut bersama media di sini pada Khamis.

Menurut Yusry, turut bersama Kudsia menyertai Suria FM ialah bekas deejay Era FM iaitu Reza Mohamad sebagai salah seorang penyampai baru yang akan mengendalikan segmen pagi stesen itu.

Bekas Ketua Bahagian Program, Lite FM iaitu Adiwati Zainuddin turut menyertai Suria FM menjawat jawatan yang sama.

Kudsia ketika menjawab pertanyaan para pemberita berkata, tanggungjawab barunya ini adalah sangat mencabar kerana selain Suria FM, beliau juga bertanggungjawab ke atas tiga lagi stesen radio di bawah kumpulan media The Star masing-masing dua saluran berbahasa Inggeris iaitu Capital FM dan Red FM serta satu saluran berbahasa Mandarin iaitu 988.

Bagaimanapun, kata Kudsia, beliau secara khusus akan memberi tumpuan istimewa kepada Suria FM untuk melonjakkan lagi penguasaan stesen radio berbahasa Malaysia itu dalam pasaran atau segmen bagi pendengar Melayu.

Untuk rekod, beberapa penyampai radio Suria FM seperti Linda Onn, Subi dan Halim Othman sebelum ini pernah berkhidmat di bawah Kudsia sewaktu Era FM diperkenalkan.

“Saya berasa sangat teruja untuk menyertai pasukan baru ini kerana saya tidak pernah tengok satu pasukan yang begitu ceria sepertimana para penyampai Suria FM,” kata Kudsia yang sebelum ini berkhidmat sebagai naib presiden Bahagian Media Baru, Astro Radio.

Kudsia mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyiaran radio dan pernah berkhidmat sebagai deejay Radio Muzik dan Era FM sebelum dinaikkan pangkat sebagai petugas belakang tabir di Astro.

Beliau juga pernah popular sebagai pengkritik program realiti televisyen iaitu Akademi Fantasia selama beberapa musim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Radio The Star, C.K Tan berkata, setiap organisasi memerlukan satu pasukan yang sempurna dan penyertaan Kudsia dan Adiwati telah melengkapkan keperluan stesen radio kumpulan itu.

Apatah lagi, katanya, tidak ramai bakat yang berpengalaman dalam bidang ini di pasaran tanah air sepertimana yang ada pada Kudsia.

Dalam pada itu mengenai pemilihan Reza pula, Yusry menjawab; “Saya memilih Reza berdasarkan kepada kaji selidik yang dibuat dan dia tersenarai sebagai salah seorang selebriti radio yang menjadi pilihan ramai. Cara penyampaiannya yang ceria amat serasi dengan format dan “tagline” Suria FM iaitu “Ceriakan Duniamu.”

Katanya, Reza akan muncul di studio secara solo dan tidak perlu digandingkan dengan penyampai wanita yang lain kerana suara dan gayanya mempengaruhi kedua-dua gender lelaki dan wanita.

Kepada satu pertanyaan lain, Yusry menambah, sejak Suria FM mengambil nama-nama besar selebriti radio dan hiburan tanah air sebagai tenaga baru penyampainya seperti Nabil, Kenchana Dewi, Halim Othman dan Linda Onn, jumlah pendengar telah naik sebanyak 23 peratus.

Ini, katanya, adalah satu perkembangan yang sangat memberangsangkan dan membuktikan Suria FM berada dalam landasan yang betul untuk menjadi stesen radio yang semakin popular dalam segmen pendengar Melayu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif dan juga Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan ramai selebriti tempatan tanah air.

Artikel Sebelum

Artikel Lain