suria

'Usah Terlalu Kemaruk Untuk Jadi Pelakon' – Amar Baharin

Amar selesa berlakon untuk drama televisyen sehingga dia benar-benar mendapat skrip filem yang baik. - Foto oleh RAYMOND OOI
Amar selesa berlakon untuk drama televisyen sehingga dia benar-benar mendapat skrip filem yang baik. - Foto oleh RAYMOND OOI
Amar selesa berlakon untuk drama televisyen sehingga dia benar-benar mendapat skrip filem yang baik. - Foto oleh RAYMOND OOI

PETALING JAYA: Aktor Amar Baharin berkata seseorang pendatang baru hendaklah tidak terlalu kemaruk untuk menjadi pelakon filem sehingga sanggup menerima tawaran membintangi karya yang tidak berkualiti.

Sebaliknya kata Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 27, golongan berkenaan hendaklah bersikap selektif ataupun memilih sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Pelakon baru sepatutnya bersikap memilih jika hendak berlakon dalam sesebuah filem. Masalahnya, apa yang saya perhatikan majoriti pelakon baru menerima sahaja apa juga tawaran yang diberi kepada mereka walaupun ia berkualiti rendah.

“Hanya kerana mereka mahu nama terpahat sebagai pelakon filem, segelintir artis baru ini terima bulat-bulat tawaran itu tanpa memikirkan impaknya pada profil mereka,” katanya ketika ditemui di Menara Star di sini, petang Isnin.

Bekas finalis program Anak Wayang ini berkata, demi untuk tidak mencalarkan profil kerjaya dia lebih selesa berlakon untuk siaran televisyen sahaja sehingga menerima tawaran filem yang berlainan dan membanggakan.

“Untuk apa berlakon filem kalau filem yang ditawarkan itu tidak bagus, kurang kualiti dan hasilnya lebih teruk daripada sebuah drama televisyen?

“Lebih baik saya berlakon di televisyen sahaja buat masa ini sehingga ada skrip yang tersendiri dan bersesuaian pada masa akan datang,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaru, Amar memutuskan untuk berehat daripada kerja sepanjang baki bulan Ramadan yang masih tinggal ini.

“Pada awal puasa, saya sibuk di lokasi penggambaran telefilem Jambatan Ke Syurga. Sebelum Ramadan, saya sudah sibuk setiap hari selama dua bulan kerana komitmen drama bersiri Naziha untuk TV3 dan Geng Surau musim kedua (RTM).

“Kini saya hanya mahu berehat dulu di rumah sebelum mempertimbangkan sebarang tawaran lakonan yang baru,” katanya.

Aksi lakonannya boleh ditonton dalam drama Naziha yang kini disiarkan pada setiap Jumaat pukul 9 malam di TV3.

Artikel Lain