suria

Diskaun Tiket Konsert Sami Yusuf Untuk Pelajar Dilanjutkan

Sami Yusuf
Sami Yusuf
Sami Yusuf

PETALING JAYA: Penganjur Konsert Salaam Sami Yusuf melanjutkan tempoh diskaun sebanyak 15 peratus bagi pembelian tiket di kalangan pelajar sehingga 30 Jun ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan penganjurnya, Offshore Entertainment Production (OEP), keputusan tersebut dibuat bagi memberikan masa yang mencukupi kepada mereka yang berada di luar Kuala Lumpur untuk membuat pembelian.

“Kami lanjutkan tempoh diskaun tiket kepada pelajar atas pertimbangan kepada mereka yang berada di luar Kuala Lumpur agar mempunyai waktu yang mencukupi untuk melakukan pembelian tiket ke konsert ini,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan kepada mStar Online di sini, Jumaat

Konsert sulung bintang lagu-lagu kerohanian antarabangsa itu di sini bakal berlangsung pada 14 Julai depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Kata kenyataan itu, OEP turut melantik sebuah syarikat, UNICDOTMY Pro Sdn Bhd sebagai ejen penjualan tiket bagi memudahkan urusan penjualan tiket tersebut kepada para pelajar.

Pembelian boleh dilakukan dengan melayari laman web www.unic.my dan klik pada UNIC e-shop, dengan kemudahan pembayaran menerusi kredit kad atau sistem perbankan Internet.

Tiket-tiket yang sudah dibeli boleh ditebus di kaunter tiket stadium tersebut 13 Julai depan.

Konsert itu juga bakal menampilkan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sebagai penyanyi undangan.

Pada malam itu, mereka dijangka berduet dalam lagu berjudul You Came To Me yang turut dimuatkan dalam album terbaru Sami, Salaam.

“Adalah menjadi satu penghormatan untuk saya menghadiahkan lagu duet eksklusif itu kepada para peminat di rantau ini.

"Saya sudah tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan penyanyi nombor satu Malaysia pada konsert di Singapura dan Kuala Lumpur,” kata Sami melalui kenyataan itu.

Kumpulan pemuzik terkenal tanah air, Mohram turut mengiringi penyanyi itu dalam segmen khas “akustika”.

Populariti penyanyi kelahiran Tehran ini melonjak di peringkat global selepas dia muncul dengan album sulung “Al Mu’allim” pada 2003.

Sami yang mempunyai jumlah peminat mencecah 2 bilion orang mendapat jolokan ‘Bintang Muslim Terbesar’ oleh majalah Time dan ‘Muslim British Paling Popular Di Dunia’ oleh The Guardian.

Tiket bagi menyaksikan konsert berkenaan dijual serendah RM55 sehingga RM295 dan boleh dibeli dengan melayari www.airasiaRedtix.com atau di cawangan Victoria Music Centre dan Rock Corner.

Untuk maklumat mengenai tiket konsert boleh hubungi talian 03-87754666.

Artikel Lain