suria

Mamat (Sepah) Hapus Dendam Dengan Dua Sahabat

Mamat (Sepah).
Mamat (Sepah).
Mamat (Sepah).

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Mohd Noor Murad atau lebih dikenali sebagai Mamat (Sepah) tidak menyimpan dendam terhadap dua rakannya dalam kumpulan Sepah iaitu Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep), dan Shahmira Muhamad (Shuib).

Mamat berkata, dia tidak mempunyai sebarang sebab mengapa perlu menyimpan dendam terhadap mereka berdua selepas dituduh tidak berdisiplin kerana mereka adalah kawan baiknya.

"Kalau asyik nak ikutkan perasaan marah dan dendam sampai bila pun masalah tidak akan selesai. Saya sikit pun tidak pernah berdendam dengan mereka kerana kami pernah berkawan baik dan mengharungi pelbagai susah dan senang bersama," ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, kerana ikatan itu juga dia tidak pernah membuat serangan balas terhadap kedua-dua mereka setiap kali Jep dan Shuib menceritakan hal negatif tentang dirinya kepada media.

Mamat memberitahu, walaupun masih banyak perkara terbuku di hati tetapi dia mengambil jalan untuk berdiam diri kerana mengenangkan persahabatan mereka dahulu.

"Kadang-kadang bila fikir memang sedih tetapi perkara itu dah berlalu dan saya sudah menerima bahagian saya. Apa juga yang dikatakan saya mengambil pengajaran dan cuba memperbaiki diri," ujarnya.

Sebelum ini, kumpulan Sepah telah dibubarkan pada Ogos tahun lalu kerana Jep dan Shuaib memberitahu tidak dapat bekerjasama dengan Mamat dalam satu kumpulan.

Jep dan Shuaib bagaimanapun telah menubuhkan sebuah kumpulan baru iaitu Sepahtu.

Dalam pada itu, Mamat berkata, hubungan mereka kini masih lagi baik tanpa sebarang masalah dan masing-masing sering bertanya khabar jika berkesempatan.

"Itu semua kisah lalu dan kita perlu meneruskan kehidupan tanpa menoleh ke belakang begitu juga hubungan saya dengan mereka.

"Kami masih baik dan semua yang berlaku sebelum ini ada hikmah di sebaliknya," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai projek terbaru, Mamat berkata dia agak sibuk melunaskan semua tanggungjawab yang diberikan oleh penerbit dan pengarah yang masih mempercayai bakatnya.

Mamat memebritahu dia paling teruja dengan filem animasi berjudul “Bola Kampung The Movie” kerana telah lama mengimpikan untuk meminjamkan suara dalam karakter kartun.

"Saya adalah peminat kartun dan sejak dulu lagi sering berangan-angan dengan meniru gaya suara seperti “Nobita” atau “Doraemon” dan peluang berlakon dalam “Bola Kampung” adalah sesuatu yang tidak akan saya lepaskan," ujarnya.

Selain Mamat, “Bola Kampung The Movie” turut menampilkan 13 lagi artis terkenal tanah air seperti Deanna Yusof, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan dan Noh (Hujan). Ia bakal ditayangkan pada akhir tahun ini.

Artikel Lain