suria

Putri Mardiana Tangguh Bertunang Bukan Kerana Hubungan Retak

Putri Mardiana
Putri Mardiana
Putri Mardiana

PETALING JAYA: Pelakon Putri Mardiana Zainal Abidin atau Nina, berkata pembatalan majlis pertunangannya dengan Mohd Hasnul Amril (Anol) yang sepatutnya pada Disember tahun lalu bukan berpunca daripada keretakan hubungan mereka.

Sebaliknya, aktres berusia 31 tahun ini berkata keputusan itu diambil selepas ahli keluarga kedua belah pihak memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan tanpa majlis bertunang.

“Selepas berbincang dengan keluarga, kami batalkan perancangan untuk bertunang pada Disember tahun lalu sebaliknya memilih untuk terus kahwin pada tahun ini bagi mengelakkan pembaziran.

“Tempoh di antara tarikh bertunang yang dirancang dan majlis perkahwinan kami pun mungkin tidak jauh mengapa tidak kami batalkan saja pertunangan dan terus berkahwin,” jelasnya kepada mStar Online.

Nina menambah, mereka tetap akan berkahwin pada tahun ini namun masih belum dapat mengesahkan tarikhnya kerana sedang melaksanakan beberapa persiapan untuk majlis itu.

“Anol sudah tetapkan yang dia akan mengahwini saya pada tahun ini juga cuma kami belum boleh umumkan sebarang tarikh.

“Pada peringkat ini, kami sibuk dengan kerja masing-masing dan persiapan perkahwinan sedikit demi sedikit. Insya-Allah kami juga akan menjalani ujian HIV tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nina mengakui perjalanan kariernya semakin baik dan stabil sejak bergerak sendiri tanpa pengurusan di bawah MIG Talents.

“Alhamdulillah, tawaran lakonan tidak pernah putus. Walaupun ada pihak yang meragui saya kononnya tidak boleh berdikari selepas keluar daripada pengurusan MIG, tanggapan itu adalah salah.

“Saya akui perlu bekerja keras dan ringan mulut dengan para penerbit dan orang industri. Keadaan itu sebenarnya mematangkan dan membuatkan saya lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain