suria

Harun Salim Bachik Nafi Letak Jawatan Presiden Seniman

Harun Salim Bachik
Harun Salim Bachik
Harun Salim Bachik

PETALING JAYA: Pelawak dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik menolak dakwaan dia bakal melepaskan jawatan itu kerana gagal melaksanakan perubahan besar sejak menggalas jawatan itu pada 2009.

Pemilik nama sebenar Haron Aminar Rashid Salim, 52, itu berkata dia berasa hairan dan kecewa dengan khabar angin yang timbul kerana boleh menjejaskan reputasinya sebagai ketua persatuan itu pada mata umum.

“Saya terkejut apabila dakwaan (meletakkan jawatan) ini timbul sedangkan saya tidak pernah berkata apa-apa atau memberikan sebarang kenyataan.

“Siapalah yang membawa mulut tentang perkara ini, walhal saya sendiri tidak tahu-menahu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Rabu.

Harun dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman selepas menewaskan Datuk Mustapha Maarof dengan kelebihan 78 undian pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 18 Disember 2009.

Harun memegang jawatan itu bagi tempoh tiga penggal yang dijangka berakhir pada hujung tahun ini.

Ketika ditanya pernah atau tidak terdetik perasaan kecewa dan terkilan sepanjang bergelar Presiden, Harun berkata perasaan kecewa apabila kepimpinannya dipertikaikan oleh ahli persatuan itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus menggalas tanggungjawab tersebut.

“Sejujurnya memang ada juga perasaan kecewa dengan kepimpinan saya sendiri dan perjalanan persatuan tetapi belum lagi sampai ke tahap hendak meletakkan jawatan.

“Jika sekalipun saya hendak meletakkan jawatan, ia tidak semudah yang diperkatakan kerana ia melibatkan semua ahli dan bukan keputusan individu,” katanya.

Harun berkata kesetiaan terhadap persatuan itu tidak akan berganjak walaupun dia lagi memegang sebarang jawatan selepas ini.

“Tahun ini adalah tahun terakhir saya memegang jawatan presiden. Sekali pun saya tidak lagi menggalas jawatan presiden selepas ini, saya akan tetap sokong perjuangan Seniman.

“Sama ada berjawatan penting atau ahli biasa, ia tidak akan mengubah pendirian dan kesetiaan saya pada Seniman,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain