
Konsert ini mampu mengubat kerinduan peminat lagu-lagu 60-an untuk mengimbau kembali zaman mereka. Foto SHAARI CHE MAT
KUALA LUMPUR: Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh yang diadakan di Istana Budaya di sini pada Jumaat malam berlangsung dengan jayanya
hasil gabungan sepuluh artis termasuk solo dan berkumpulan pada era tersebut.
Konsert anjuran Gombak Serumpun Sdn Bhd itu agak luar biasa apabila artis-artis yang membuat persembahan berjaya mengekalkan kelunakan suara mereka biarpun pada usia yang telah lanjut.
Dengan menampilkan kira-kira 32 buah lagu, ternyata konsert ini mampu mengubat kerinduan peminat lagu-lagu 60-an untuk mengimbau kembali saat itu.
Ia dimulakan dengan persembahan A. Halim bersama grupnya, D'Fiction yang menampilkan empat buah lagu antaranya “Salam Mesra” dan “Kisah & Tauladan” serta “Teman Baru”.
Penyanyi itu masih bertenaga membuat persembahan selain kelunakan suaranya sedikitpun tidak berubah sama seperti pada zaman kemuncak popularitinya dahulu.
Begitu juga dengan A. Rahman Onn yang muncul dengan kumpulan The Strangers tidak menghampakan peminat dengan lagu antaranya “Cincin Emas” dan “Peracun Kalbu”.
J. Sham juga berjaya menghangatkan keadaan apabila mendendangkan empat buah lagu seperti “Suratku Untukmu” dan “Mencari Sinar Bahagia”.
Peminat bintang wanita dilihat teruja apabila Fatimah M. Amin dan Roziah Latiff muncul dengan masing-masing membawakan lagu “Bahagia” dan “Cinta Pertama” dengan diiringi kumpulan The Rhythm 60's.
Turut membuat persembahan ZamZam, Datuk L Ramli, Datuk A Rahman Hassan bersama isteri Datin Azizah Muhamad, Datuk Jeffri Din dan A. Ruzainie yang mendendangkan lagu-lagu A. Ramli,
Seperti biasa lagu-lagu seperti “Oh Fatimah”, “Ayah Ku Kahwin Lagi”, “Seruling Anak Gembala” dan “Tak Mengapa” nyanyian setiap seorang daripada mereka pasti pendapat reaksi luar biasa peminat.
A. Rahman berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan persembahan semua artis dalam konsert berkenaan kerana mereka mampu
membuat persembahan dengan baik.
"Syukur sangat dengan persembahan yang berjalan dengan baik ini. Kami
tidak menyangka ramai penonton yang datang untuk menyaksikan lagu-lagu
popular pop yeh yeh," katanya kepada mStar Online selepas konsert
tamat.
Lebih bermakna kata beliau, dalam konsert itu isterinya Azizah yang
tidak beberapa sihat dan hampir terjatuh semasa di pentas masih mampu
menghiburkan orang ramai.
Pelawak Abon yang menjadi pengacara membuat penonton ketawa dengan
telatah lucunya ketika di pentas.
Sementara itu pihak Istana Budaya memberitahu tiket-tiket yang dijual
mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila hampir 80
peratus telah di tempah.
Bagaimanapun orang ramai yang ingin menyaksikan konsert yang akan
berakhir pada Ahad ini masih boleh membuat tempahan dengan menghubungi
012-3965230 atau layari tiket2U.biz.
Ia dijual dengan harga daripada RM40 hingga RM350.