suria

Naguib Dilantik KP Finas Yang Baru

Naguib
Naguib
Naguib

PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit filem dokumentari, Mohd Naguib Razak, 42, dilantik memegang jawatan Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional(Finas), sekali gus melenyapkan desas desus kontroversi individu yang akan menjawat jawatan itu.

Naguib menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim yang telah tamat tempoh kontraknya pada 30 Jun lalu selepas lima tahun berkhidmat.

Menurut sumber, pemilihan Naguib telah dibuat oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Dr Rais Yatim sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

"Naguib telah pun memulakan perkhidmatannya sejak 1 September lalu dan saya percaya, berdasarkan pengalamannya yang luas tentang industri hiburan tempatan, dia mampu menggalas tanggungjawabnya dengan baik.

"Dia juga mempunyai hubungan baik dengan penggiat industri seni di luar negara," kata sumber tersebut yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambahnya, selain Naguib, dua nama lain yang turut dicalonkan untuk jawatan tersebut sebelum ini ialah pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Dr Megat Al-Imran.

"Apabila kecoh tentang pemilihan jawatan antara dua calon tersebut, Naguib turut tersenarai, namun ramai yang tidak tahu tentang perkara itu,” ujarnya.

Sementara itu, Naguib ketika dihubungi enggan mengulas tentang pelantikan itu sebaliknya telah mengesahkan menerusi laman “linkedIn” miliknya.

"Saya tidak mahu bercakap panjang tentang hal ini sehinggalah satu pengumuman rasmi dilakukan," katanya.

Difahamkan, sidang akhbar berkenaan pelantikan jawatan KP tersebut akan diadakan pada 19 September depan.

Naguib pernah menerbitkan empat filem dokumentari berjudul Anak Duyung, The Boatmaker & The Sea, Glass Enclosure: Tokyo Invisible dan Becoming A King: Inside The Coronation of The Agong.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Pengarah dan penulis skrip di Astro Shaw serta menjadi Eksekutif Kanan, Unit Program di Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) selama setahun bermula 2005.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Adele Nyanyikan Lagu James Bond 23

Artikel Lain