suria

Lantang, Tegas Karakter Remy Ishak

HARI INI, genaplah usia 29 tahun hero Malaya kesayangan ramai, Remy Ishak.

Sempena hari lahirnya itu, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak hanya berdoa agar perjalanan kehidupan serta kariernya berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.

“Ya, saya hanya berazam untuk lebih maju dalam bidang seni dan memperkukuhkan lagi mutu kerja,” ujar Remy ringkas.

Tidak terlalu memikirkan tentang peningkatan usia, anak kelahiran negeri adat pepatih (Negeri Sembilan) itu merasakan kepantasan masa membuatkan dirinya terkejar-kejar mahu mencapai misi dan pengalaman yang diinginkan.

Baginya juga, usia terlalu subjektif untuk ditakrifkan kerana angka umur itu adalah sebuah perbandingan untuk meletakkan rasa hormat kepada seseorang.

“Apabila bercakap tentang usia, ia hanya meletakkan rasa hormat pada orang yang lebih tua atau yang lebih muda, cuma pengalaman hidup yang banyak memainkan peranan sebenarnya.

“Oleh itu, kita perlu merancang perjalanan hidup kita kerana hidup tanpa sasaran seperti orang yang tiada wawasan dan tiada hala tuju, lantas ia merugikan masa,” katanya.

Melihat sisi lain karakter pelakon ini, dirinya agak santai apabila berbicara tetapi setiap kata-kata yang dinyatakan penuh dengan takrifan prinsip yang menunjukkan Remy juga seorang lelaki bersifat tegas.

Ditanya tentang hal sedemikian, pelakon yang sering dikaitkan dengan aktres jelita, Tiz Zaqyah dan Maya Karin ini mengakui tentang personalitinya itu.

Malah Remy juga mempunyai sifat lantang bersuara jika ada perkara yang membuatkan dirinya tidak selesa dengan sesebuah keadaan.

“Ya, saya seorang yang serius. Walaupun orang nampak saya ramah, ada masa-masanya, saya boleh bertukar menjadi seorang yang sangat tegas dan serius.

“Kalau ada sesuatu yang tidak kena atau orang cuba mengambil kesempatan, saya akan lantang bersuara. Lagipun, menyimpan sesuatu perkara di dalam hati boleh membuatkan jiwa kita kacau.

“Bagaimanapun, pada masa sama, saya juga seorang yang happy go lucky,” katanya tersenyum.

Singkirkan teman

Cuba membongkar lagi tentang karakter serius pelakon filem Cun! ini, kata Remy, ketegasannya itu juga boleh ke tahap dia mampu menyingkirkan seseorang yang pernah menjadi temannya jika terdapat perkara yang kurang disenangi tentang teman tersebut.

“Saya seorang yang sangat berhati-hati dan memilih untuk berkawan kerana mereka juga mampu mempengaruhi diri kita.

“Jadi, ia merupakan kesalahan diri sendiri jika kita salah pilih kawan. Saya pernah menyingkir kawan sendiri. Lebih merimaskan jika seseorang itu jenis yang cakap tak serupa bikin.

“Bagaimanapun, saya hanya akan menjadi garang dengan orang tertentu sahaja. Kiranya, hanya orang yang rapat tahu tentang sifat saya ini,” ujarnya.

Ternyata jiwa Remy agak kental dan tidak pernah rapuh bila melalui dugaan. Lantas ditanya pernahkah dirinya mengeluarkan air mata sepanjang berada dalam industri hiburan, kata Remy ringkas: “Saya masih kuat lagi.”

“Kunci” hal peribadi

Biasanya, setiap pengalaman buruk yang berlaku pasti menjadi pengajaran besar untuk seseorang itu menjadi lebih berhati-hati supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’.

Begitu juga dengan Remy, pengalaman berkongsi kisah cinta dengan bekas kekasihnya, Ummi Nazeera memberi kesedaran buatnya agar tidak bercerita sewenang-wenangnya kepada umum tentang hal peribadi.

Prinsipnya kali ini, tuah menjadi insan seni popular tidak semestinya kerana hasil cerita cinta yang dihebahkan. Sebaliknya, bakat yang dimiliki dalam diri menjadi keutamaan sehingga berjaya melakar nama pada ‘dinding’ industri lakonan.

Seperti tidak lengkap jika tidak bertanya tentang hubungan cintanya dengan Tiz, walaupun pernah disoal banyak kali sebelum ini, Remy masih lagi senang menutup mulut daripada bercerita tentang hal peribadi kepada umum.

“Sekarang ini saya lebih selesa untuk tidak menceritakan tentang hal hubungan cinta. Bila hubungan itu menjadi, ia akan menjadi isu, tidak menjadi pun, ia tetap jadi isu. “Bab-bab isi hati, memang saya tak mahu kongsi. Kadang-kala bila baca balik artikel, terasa sakit hati,” katanya.

Minat fotografi

Tutup buku tentang hal cinta Remy, pelakon ini sebenarnya bukan sekadar memiliki bakat berlakon. Sebaliknya, dia juga mempunyai minat yang mendalam dalam bidang seni lukis dan fotografi.

“Apa sahaja yang berkaitan seni, saya pasti akan menyukainya. Saya suka melukis serta bidang fotografi. Jika ada masa terluang, saya akan meluangkan masa untuk kedua-dua perkara itu.

“Selain itu, saya amat meminati muzik-muzik tradisional. Salah seorang penyanyi kegemaran saya ialah Abdullah Chik,” ujarnya.

Foto ONG SOON HIN Pakaian BANANA REPUBLIC & ORA ORA (012-6214515)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain