suria

Rosyam Nor Harap ‘Trilogi Cinta’ Cecah 2 Juta Penonton

Rosyam dan Fouziah merupakan pelakon utama dalam drama Trilogi Cinta.
Rosyam dan Fouziah merupakan pelakon utama dalam drama Trilogi Cinta.
Rosyam dan Fouziah merupakan pelakon utama dalam drama Trilogi Cinta.

PETALING JAYA: Pelakon Rosyam Nor berharap rating drama Trilogi Cinta lakonan dan terbitan syarikatnya, Suhan Movies Trading berjaya melepasi sasarannya iaitu 2 juta penonton.

Setakat ini, drama yang disiarkan di TV1 pada setiap Ahad hingga Selasa, pukul 10 malam itu telah berjaya mencatat rating 1.5 juta penonton.

Rosyam yang dihubungi mStar Online bersyukur dan lega dengan sambutan positif yang diberikan penonton drama yang turut dilakonkan oleh Fouziah Gous, Amyza Aznan, Yuswaizar, Aida Khalida dan Siti Fazurina itu.

“Saya bersyukur kerana Trilogi Cinta menjadi bualan hangat ketika ini walaupun banyak drama yang disiarkan di televisyen.

“Saya juga mendapat tahu banyak reaksi yang diberikan oleh pengunjung blog-blog di Internet tentang drama ini.

“Saya menganggap kejayaan drama ini hasil kerjasama banyak pihak yang mana kita lihat drama ini diangkat dari tiga buah novel popular Sharifah Abu Salem yang pastinya sudah mempunyai pengikut tersendiri dan pastinya mereka mahu melihat cerita tersebut dihasilkan dalam bentuk visual,” katanya ketika melawat ibunya, Rubiah Kamarudin, 68, di Hospital Pantai, Bangsar, Isnin.

Ibu Rosyam telah selamat menjalani pembedahan pada matanya pada 23 Februari lalu dan telah seminggu dirawat di hospital tersebut.

Tambahnya: “Walaupun drama ini tidak berjaya memenuhi 100 peratus mengikut novel tersebut, tetapi saya rasa sekurang-kurang 70 peratus perkara yang terdapat dalam drama ini dikira ‘menjadi’.

“Saya mendapat tahu ramai yang berpuas hati dengan gabungan pelakon-pelakon hebat dalam drama ini. Tahniah juga diucapkan kepada Fouziah Gous yang melakonkan watak utama sebagai Norjinah dalam drama ini dengan baik serta pengarah drama ini, Amie Maziah.”

Dalam perkembangan lain, Rosyam bakal menerbitkan drama Asmara 2 dan drama muzikal Inspirasi Kasih yang dilakonkan oleh artis Pilih Kasih.

Selain itu, drama Begitukah Cinta terbitan Suhan Movies sedang disiarkan di TV3.

Artikel Berikut

Artikel Lain