suria

Artis 'Pilih Kasih' Sertai Program Muzikal

Antara finalis Pilih Kasih
Antara finalis Pilih Kasih
Antara finalis Pilih Kasih

SEREMBAN: Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menerbitkan sebuah program berkonsepkan muzikal remaja sebanyak 13 episod melibatkan artis-artis Pilih Kasih musim pertama dan kedua.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya ketika sidang media selepas berakhirnya Pentas Akhir Pilih Kasih 2 di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, di sini, Ahad.

"Pihak pengurusan tertinggi RTM telah bersetuju untuk menerbit sebuah program 13 episod untuk artis-artis Pilih Kasih dengan kerjasama Suhan Movies.

"Kami mahu memberikan peluang kepada mereka untuk mencari rezeki dan menggilap bakat masing-masing sehingga menjadi terkenal," kata beliau kepada pemberita.

Ibrahim berkata program Pilih Kasih telah membantu meningkatkan rating stesen RTM apabila telah melangkau dua juta penonton.

"Program Pilih Kasih menjadi antara program terbaik di RTM dan telah menunjukkan bahawa stesen itu bukanlah stesen propaganda kerajaan sahaja sebaliknya sentiasa menghasilkan program terbaik.

"Kami melihat program ini bukan sahaja meningkatkan rating tetapi turut menjadi buah mulut orang ramai.

"Kami percaya program terbaru yang kami akan terbitkan nanti akan mencungkil bakat artis baru dan memberikan kepuasan kepada penonton remaja," ujar beliau lagi.

Selain itu, Ibrahim turut memuji sebuah lagi produk Suhan Movies iaitu drama Trilogi Cinta yang begitu mendapat sambutan penonton dengan rating melebihi 1 juta.

Drama yang dilakonkan oleh Rosyam Nor, Fouziah Gous dan Amyza Aznan itu sedang disiarkan di RTM1 pada setiap Ahad dan Isnin, pukul 10 malam.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Pilih Kasih, Rosyam Nor akan menentukan artis-artis rancangan itu untuk menyertai program baru tersebut mengikut kesesuaian watak.

Malah selaku pengasas program berkenaan, Rosyam memberikan syarat kepada artis-artis Pilih Kasih agar tidak mengikat kontrak dengan mana-mana syarikat produksi.

"Semua artis Pilih Kasih akan berada di bawah bimbingan saya tetapi tidak perlu mengikat kontrak di bawah syarikat saya.

"Mereka hanya perlu beritahu kepada saya dengan siapa mereka berlakon.

Setakat ini, pengarah Erma Fatima, Bade Azmi dan Aziz M Osman akan mengambil mereka berlakon dlam filem dan drama mereka," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain