suria

Penswastaan Studio Digital Mixstage Finas Dipertimbang - Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Ekoran desas-desus yang mendakwa Studio Digital Mixstage di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang bakal diswastakan kelak, timbul kebimbangan di kalangan penggiat filem tanah air mengenai kemungkinan harga penggunaan studio itu akan meningkat.

Justeru, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri anjuran Finas, Khamis, diminta untuk mengulas mengenai perkara itu.

Menurut Rais, memang kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk penswastaan studio yang bernilai RM53 juta itu.

Namun, keputusan untuk menswastakannya masih belum diputuskan lagi kerana dalam peringkat perbincangan bagi membolehkan pihaknya meneliti potensi studio itu dan mengkaji semua aspek berkaitan.

"Perkara itu masih berada dalam peringkat perbincangan dan belum diputuskan lagi buat masa ini. Tiada sebab mengapa studio itu tidak boleh diswastakan dan sekaligus diuruskan oleh badan luar selain Finas.

"Ia bukan satu masalah jika studio itu diswastakan kelak. Kita mendapati selepas setahun ia beroperasi, kadar penggunaan studio itu tidak seoptimum seperti yang dirancang kerana tidak banyak produk filem atau dokumentari diproses di dalam studio ini.

"Justeru, tidak salah jika kita menswastakan studio itu supaya pengurusan dan operasi studio dapat dipertingkatkan," katanya.

Mengulas tentang kebimbangan penggiat seni akan kemungkinan kos penggunaan kemudahan di studio itu akan meningkat apabila diswastakan kelak, Rais berkata, karyawan filem tidak perlu bimbang mengenai perkara itu kerana pihak kementerian akan memantau aspek tersebut sekalipun ia dikendalikan oleh pihak lain.

"Penggiat filem tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan harga kos penggunaan studio itu akan meningkat selepas ia tidak lagi diuruskan oleh Finas nanti. Kita akan meneliti dan memantau perkara itu agar tidak membebankan penerbit dan penggiat filem.

"Namun, perkara itu juga masih dibincangkan lagi kerana kita akan melantik panel khas untuk memilih badan atau pihak yang bersesuaian untuk mengendalikan operasi studio itu nanti," katanya.

Studio Digital Mixstage adalah sebuah studio adunan bunyi termoden di rantau ini yang dibina untuk membantu penerbitan filem tempatan yang selama ini bergantung kepada kemudahan sama di Hong Kong, India, Thailand dan Australia.

Dibina tiga tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), studio berkeluasan 3,950 meter persegi itu dilengkapi pelbagai teknologi canggih untuk rakaman bunyi, selain peralatan seperti optical sound camera, mix stage dan foley yang pertama digunakan di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain