suria

Nada Dering "Kotak" Dimuat Turun Lebih 500,000 Kali

Dari kiri; Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke; ahli kumpulan KOTAK; Cella, Tantri, Chua, Posan Tobing; dan Pengurus Besar SRC, Edwin Tan bersama plak penghargaan. - Foto THE STAR Oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
Dari kiri; Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke; ahli kumpulan KOTAK; Cella, Tantri, Chua, Posan Tobing; dan Pengurus Besar SRC, Edwin Tan bersama plak penghargaan. - Foto THE STAR Oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
Dari kiri; Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke; ahli kumpulan KOTAK; Cella, Tantri, Chua, Posan Tobing; dan Pengurus Besar SRC, Edwin Tan bersama plak penghargaan. - Foto THE STAR Oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

ALBUM kedua kumpulan rock dari Jakarta, Indonesia iaitu Kotak berjaya mencecah lebih 500,000 muat turun untuk nada dering sejak dilancarkan enam bulan lalu di negara ini.

Kotak Kedua yang dilancarkan pada 2008 dengan menampilkan muzik rock moden mengandungi lagu-lagu seperti Beraksi, Kosong Toejuh, Masih Cinta, Kembali Untukmu, Tinggalkan Sahaja, Mencintaku dan Dia serta Rock Never Dies.

Ketika menerima plak penghargaan daripada Suria Records (SRC) Sendirian Berhad, pemain dram Kotak, Posan Tobing berkata, lagu-lagu tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan di negara asalnya.

"Lagu Masih Cinta, Tinggalkan Sahaja dan Beraksi telah merekodkan bilangan muat turun lebih tiga juta kali nada dering bagi tempoh yang sama di Indonesia," katanya pada sidang media album terbaru Kotak, Energi dan showcase Beraksi bersama Kotak di Dragon Fly, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Anggota-anggota Kotak iaitu Tantri sebagai vokalis, Cella (gitaris), Chua (bass) dan Posan membuat persembahan akustik untuk lagu-lagu seperti Pelan Pelan Saja, Selalu Cinta dan Masih Cinta yang terkandung dalam album terbaru mereka.

Pengurus Besar SRC, Edwin Tan menyampaikan plak penghargaan kepada anggota-anggota Kotak manakala Pengarah Urusan SRC, Tan Su Loke pula menyampaikan album Energi kepada mereka.

Album Energi yang memuatkan tujuh lagu rock dan dua lagu balada akan dilancarkan serentak di Indonesia dan negara ini pada 6 Ogos ini.

Pada Jumaat ini, Kotak akan mengadakan persembahan istimewa di DragonFly, pada pukul 8 malam.

Showcase ini bakal menampilkan persembahan selama lebih satu jam. Mereka akan mempersembahkan kira-kira sembilan lagu dalam album pertama, kedua dan ketiga.

Ditanya kenapa Kotak melancarkan album ketiga mereka di Malaysia, Posan menjelaskan, album kedua kumpulan itu julung kali dilancarkan di negara ini.

"Kami terkejut dengan sambutan luar biasa untuk tiga lagu tersebut. Ia adalah satu kebanggaan kepada kumpulan kami," katanya.

Malah Posan berkata, Kotak telah menghasilkan klip video di Malaysia untuk lagu berjudul Tinggalkan Sahaja dalam album kedua.

Katanya, lokasi penggambarannya di KLCC, Putrajaya, Kuala Lumpur dengan menggunakan kamera video.

Kumpulan Kotak mula bergerak secara aktif sejak enam tahun lalu selepas muncul sebagai juara Dream Band 2004 di Jakarta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain