suria

Malaysian Snow - Siapa Nak Saman Siapa?

SELEPAS timbul dakwaan ada pihak yang mahu menyaman penerbit filem, Mansur Puteh sekiranya dia meneruskan hasrat menerbitkan filem Malaysian Snow, mStar Online cuba mengenalpasti dakwaan tersebut.

Kelmarin, Mansur dalam kenyataan melalui e-melnya bukan sahaja naik angin malah mempersoalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Bank SME kerana tidak mahu menyokong penerbitan filem itu.

Namun, lain pula jawapan yang diterima daripada pihak Finas. Ketika menghubungi Penolong Pengarah, Unit Skim Pinjaman Finas, Norasikin Salikin, dia hanya tergelak dan mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Saya tidak pernah mendengar apa-apa cerita melibatkan Finas akan menyaman Mansur Puteh. Sebaliknya pada 21 Mei lalu, kami ada menerima surat daripadanya yang mahu menyaman kami sebab menolak permohonan pinjamannya,” kata Norasikin ketika dihubungi semalam.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh Finas terhadap Mansur, Norasikin berkata mereka masih berbincang dengan pihak Bank SME berhubung permohonan itu.

Jelas Norasikin, pada asalnya pinjaman yang dibuat Mansur bukan ditolak mentah-mentah sebaliknya telah diluluskan pada tahun 2006.

Malangnya disebabkan Mansur gagal melengkapkan borang perjanjian, pinjaman tersebut tidak dapat diluluskan.

“Dia yang gagal melengkapkan borang pinjaman yang memaksa pihak kami menolak permohonannya. Kenapa timbul soal ada pihak yang mahu menyaman dia?” soal Norasikin.

Filem Malaysian Snow adalah sebuah penghargaan Mansur kepada mereka yang telah belajar di Universiti Nottingham khususnya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Filem itu tidak dapat diterbitkan sebelum ini kerana Mansur mempunyai masalah kewangan.

Ia dihasilkan ketika penerbit filem itu membuat tesis ketika belajar di Universiti Columbia, New York dalam jurusan Master of Fine Arts in Film Directing pada tahun 1978.

Kata Mansur, filem tersebut adalah filem Melayu pertama yang melakukan penggambaran hampir 80 peratus di Nottingham, England.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain