suria

Shahir Kumpul Modal Buka Gelanggang Futsal

Shahir bersama trofi kemenangannya. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT
Shahir bersama trofi kemenangannya. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT
Shahir bersama trofi kemenangannya. - Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT

IMPIAN juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir untuk membuka gelanggang futsal di tempat asalnya, Kampar, Perak hampir tiba.

Menurut ibunya, Mahanum Osman, 45, anak sulungnya itu sedang berusaha mengumpul modal untuk merealisasikan impiannya itu.

Doa ibu selalunya mengiringi kejayaan anaknya. Setelah berjaya dalam AF8, Mahanum berdoa semoga Shahir dimurahkan rezeki sekaligus mencapai keinginannya itu.

“Segala-galanya itu memang impiannya. Secara kebetulan, Shahir merancang untuk membuka gelanggang futsal berdekatan rumah kami di Taman Bandar Baru, Kampar.

“Sepanjang dua tahun lalu, dia sudah mencari tapak dan mengumpul duit untuk membuka gelanggang itu.

“Jadi, dia akan teruskan niatnya untuk membuka gelanggang futsal itu selain menyanyi,” ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi semalam.

Dengan peluang yang ada, Mahanum berharap Shahir dapat mengembangkan bisnes dan bidang nyanyian ini dengan baik.

“Saya memang tidak sangka dia akan sampai di tahap seperti ini. Ikutkan dah dua tahun dia beritahu saya untuk buka gelanggang futsal itu.

“Saya nampak dia begitu serius dalam bidang bisnes ini. Lagipun, dia juga minat bermain bola sepak.

“Jadi, apabila ada gelanggang itu nanti, bolehlah dia bermain di situ kerana di kawasan perumahan ini tiada gelanggang untuk bermain bola. Selain itu, ramai juga pelajar dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang boleh bermain sama,” beritahunya lagi.

Sabtu lalu, Shahir berjaya membawa pulang hadiah kereta Peugeot 207 tajaan Nasim Sdn Bhd, percutian hebat ke Hong Kong Disneyland, bekalan BRAND's Innershine selama setahun tajaan Cerebos, dua tiket pelancongan ke New York tajaan Maybelline New York dan set karaoke Arezzo Hoffman tajaan Arezzo.

Dia turut memperoleh jam tangan lelaki dan wanita jenis Hugo Boss tajaan AD Time, Coway Air Purifier-Lombok tajaan Coway, percutian tiga hari dan dua malam di D-CEO Village @ D'Paradise Resort, Melaka tajaan D'Paradise, telefon mudah alih LG Prada tajaan LG Electronics dan trofi juara Akademi Fantasia.

“Sudah itu rezeki dia. Saya, suami Zawawi Osman dan keluarga sangat bersyukur dengan apa yang dikecapinya. Kami tidak mengharapkan apa-apa daripadanya.

“Sepanjang membesarkan anak saya ini, dia memang suka berkongsi apa sahaja dengan keluarga. Mudah-mudahan Tuhan murahkan rezekinya sampai bila-bila,” itulah doa seorang ibu yang tidak jemu-jemu mendoakan kejayaan anaknya.

Jika sebelum ini Shahir pernah disingkirkan dan kemudian diserap masuk semula ke dalam AF8. Mahanum menganggap semua itu sudah menjadi rezeki kepada Shahir apabila dia diangkat sebagai juara.

Bagaimanapun, Mahanum tidak mempertikaikan bakat yang ada pada finalis AF8 yang lain iaitu Adira, Daus, Maulana dan Iwan.

“Saya hanya berserah kepada Allah. Sama ada dia disingkirkan atau dimasukkan semula, saya anggap kemenangan itu sebagai rezeki untuknya. Saya menerimanya dengan penuh syukur,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain