suria

Kakak Tua: Ikan Belum Dapat, Air Dah Keruh!

BILA nama harum bak kasturi, siapa pun sudi dikaitkan dengan kita. Tetapi bila nama sudah buruk, jangan kata kawan, adik-beradik pun tak mengaku bersaudara.

Fitrah manusia hanya mahukan yang wangi, yang harum dan yang cantik. Kakak Tua faham sangat dan menaruh simpati dengan insan-insan seni yang sedang melalui kemelut rumah tangga terutama yang melibatkan ruang lingkup mahkamah.

Belum lagi dihakimi, saat-saat yang dilalui tentu terasa bagaikan berdiri di atas duri. Semua dibuat seperti tak kena. Tanyalah Ako Mustapha, Detektif Lim, Daphne Iking dan terbaru jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan ramai lagi yang mengalami nasib yang sama. Melalui tempoh bicara amat seksa rasanya, menghitung saja hari untuk dijatuh hukum.

Begitu juga dengan Mastura Bakar, yang memohon fasakh tetapi terpaksa mengaitkan bekas madunya, Ratu etnik, Noraniza Idris. Mungkin Noraniza tidak suka dikaitkan dengan kes Mastura dan bekas suaminya satu ketika dulu, tetapi itulah harga yang perlu dibayar bila kita mempunyai nama besar. Nak tak nak, terpaksa telan juga kenyataan yang pahit ini.

Siapa yang suka nama dikaitkan dengan perkara negatif? Bukan semua kawan dan ahli keluarga akan berdiri teguh di belakang kita untuk memberi semangat. Kebiasaannya, kita akan keseorangan melainkan kalau ada ayah dan ibu. Kalau ada pun yang menunjuk simpati, sekadar secebis belas ehsan. Yang lain, kita kenalah tanggung sendiri.

Belum pun dibicarakan, media akan lebih dahulu menjadi peguamcaranya dan kata putus pula terpulang kepada peminat sebagai hakim. Bukan semua orang mampu melalui fasa kes bicara. Kekuatan mental dan emosi perlu ada.

Kalau kita seorang yang tinggi nilai sensitiviti, tentu akan terasa pedih, malu dan sakit hati. Tambah pula kalau kita tidak bersalah tapi dipersalahkan. Sedihnya bukan kepalang....

Tidak terdaya melawan arus media perdana walau nama sehebat mana sekali pun. Pengaruh dan wang ringgit ditolak tepi dan permainan media menjadikan cerita lebih sensasi.

Saat dibicarakan merupakan detik sukar yang tertanggung. Mahkamah pengadilan pula bukan selalunya adil. Bayangkan, untuk membuktikan sebuah kebenaran dan keluhuran bagaikan drama berepisod yang boleh memakan masa bertahun-tahun.

Itu belum lagi soal wang ringgit dan turun naik mahkamah. Tidak tertanggung rasanya malu dan mala hingga seluruh keluarga turut terseret sama.

Sebab itu, tidak rugi ikut nasihat orang tua. Setiap pesanan mereka, tersimpul banyak hikmah dan tauladan. Buat baik berpada-pada, jangan sampai orang ambil kesempatan. Dan buat jahat jangan sekali, tujuh keturunan orang akan sebut jua.

Mana mungkin si tukang akan buang kayunya? Sarang tebuan itu jangan dijolok dan ular yang tidur, jangan digerakkan.

Tapi berapa kerat yang ambil pusing hal-hal begini kerana selalu berfikir yang pekung itu tidak akan berbau dan bangkai gajah boleh ditutup dengan nyiru.

Jangan jadi macam Kakak Tua, sudah terperosok baru hendak baiki lantai, dah terantuk baru nak terngadah. Peritnya sampai kini terasa. Pemerhati di luar sana tidak mungkin akan tahu cerita sebenar. Bila sudah terpalit, terkait, terheret dan terkena pula tempiasnya, memang susah hendak buang arang di dahi.

Teringat kisah penyanyi veteran, Datuk M.Daud Kilau ketika terpalit dengan kes dituduh melakukan perkara tak senonoh dengan seorang budak lelaki.

"Kalau diambil air tujuh lautan sekali pun, tak mungkin dapat membersihkan malu yang saya tanggung," kata penyanyi veteran itu.

Percayalah, jika tak tersapu arang di muka, alang-alang hidup biarlah tak ada dari pandangan mata.

Kakak Tua: Bila tangan menetak, bahulah yang memikul.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain