suria

Scha Terus Bersama Awan Dania 3

EPISOD cinta mereka sudah pun lama berakhir. Tapi entah mengapa, baru saat ini Fahrin Ahmad membuka mulut tentang punca perpisahannya dengan Scha Al-Yahya yang dikatakan disebabkan oleh 'kecurangan' aktres dan pengacara itu sendiri .

Malah, Fahrin turut berkata, dia tidak mungkin akan kembali ke pangkuan Scha walaupun ramai yang ingin melihat mereka bersama semula memandangkan kedua-duanya dilihat cukup serasi ketika mengendalikan program Sehati Berdansa yang sedang bersiaran di Astro Ria.

Namun, enggan memanjangkan cerita, Scha tidak mahu membuka mulut dan 'menjawab' semula kenyataan tersebut.

Bagi pelakon yang popular menerusi siri Awan Dania ini, dia lebih selesa menyimpan kemas apa yang berlaku supaya kisah ini tidak lagi menjadi bualan ramai.

Ujar Scha, dia lebih senang untuk meneruskan lembaran baru dalam hidupnya dengan meletakkan fokus yang tinggi terhadap karier saja buat masa ini daripada berbicara tentang hal peribadi.

Kesempatan berbual dengan gadis ini , Scha mengambil kesempatan menjelaskan tentang isu kononnya dia tidak lagi membintangi siri Awan Dania musim ketiga.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan Scha telah digugurkan daripada drama bersiri popular itu dan akan digantikan dengan orang lain.

"Saya masih bersama Awan Dania. Ketika ini, saya juga sedang berada di lokasi penggambaran drama ini yang baru saja bermula tiga hari lalu.

"Apa yang boleh saya katakan, saya terima lagi watak Dania ini disebabkan peminat-peminat yang masih mahukan saya dalam drama tersebut.

"Disebabkan itu, saya sanggup menolak beberapa tawaran filem semata-mata untuk memberikan komitmen terhadap drama ini," katanya.

Ditanya tidakkah dia berasa serik untuk bekerja dengan produksi tersebut apatah lagi dengan masalah yang pernah melanda ramai pelakon drama itu pada musim kedua lalu, kata Scha, dia tidak mahu memikirkan tentang perkara itu dan ingin bersikap profesional.

"Walaupun produksi ini memang 'mencabar' sedikit, tetapi rasanya, lebih baik saya ketepikan emosi saya dan jadi profesional saja. Tidak perlulah saya bangkitkan semula kisah yang berlaku," katanya ringkas.

Drama 13 episod ini masih diarahkan oleh Samby. Selain Scha, rata-rata pelakon yang terbabit untuk musim terbaru drama ini terdiri daripada pelakon-pelakon baru.

Irma Hasmie dan Jehan Miskin juga dikatakan tidak lagi membintangi Awan Dania musim ini.

Awan Dania musim ketiga ini akan menjalani penggambaran selama sebulan.

Artikel Berikut

Artikel Lain