Zahida tidak hebahkan 'Friends Ukhuwah' kerana tidak mahu menunjuk - Hiburan | mStar

Zahida tidak hebahkan 'Friends Ukhuwah' kerana tidak mahu menunjuk

Zahida ketika lelongan amal dalam program ‘Doa Buatmu Palestin’ yang dianjurkan oleh Yayasan Karya Seni Prihatin dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Zahida ketika lelongan amal dalam program ‘Doa Buatmu Palestin’ yang dianjurkan oleh Yayasan Karya Seni Prihatin dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

RAMADAN yang mulia ini akan lebih sempurna apabila ramai orang melakukan amal jariah termasuk pelakon yang mendapat anugerah PJK daripada Sultan Selangor, Zahida Rafik.

Atas usaha amal yang dilakukan, Zahida telah pun menubuhkan pasukan amal sendiri yang diberi nama ‘Friends Ukhuwah’ mulai tahun ini.

Bagi Zahida, dia sengaja tidak mewar-warkan hal ini kepada media kerana enggan dilabel sebagai seorang yang suka menunjuk-nunjuk apabila melakukan kerja kebajikan.

Namun, setelah ditanya tentang aktiviti yang dilakukan olehnya sepanjang bulan puasa ini barulah Zahida bersedia untuk berkongsi cerita.

“Alhamdulillah, banyak aktiviti amal yang saya lakukan sepanjang bulan puasa ini. Misalnya, baru-baru ini saya meraikan anak-anak yatim di Jalan Gurney, pada Sabtu lalu kami mengadakan aktiviti memotong rambut anak-anak yatim secara percuma dan pada 15 September ini kami akan membuat majlis berbuka puasa di Amcorp Mall serta beberapa majlis lagi.

“Kita juga turut menjemput menteri dan rakan-rakan artis seperti Umie Aida, Fazley Zainal, kumpulan nasyid Unic, Erma Fatima dan ramai lagi.

“Saya memang suka kerana dari dulu lagi saya dah bercita-cita untuk mempunyai team sendiri.

“Semuanya cukup bagus dan berjalan dengan lancar sebab kami juga mendapat bantuan daripada pihak lain seperti Ika Fancy, Sofia Bee (dekorasi) dan Izat Artistic serta kakak saya, Kak Syima dan Hasina,” kata wanita yang berusia 34 tahun ini.

Jelasnya, dia bukan sahaja gembira apabila dapat melakukan kerja ini malah merasai suatu perasaan yang tidak dapat diluahkan.

“Saya rasa lega..ya Allah macam cita-cita tercapai apabila melihat anak yatim dan mangsa HIV seronok dan gembira.

“Saya bangga dengan rakan-rakan yang banyak membantu. Walaupun AJK hanya dalam lima orang tetapi saya tak sangka yang kami boleh membuatnya,” luahnya yang melakukan kerja amal tanpa mengambil apa-apa keuntungan.

Sementara modal pula keluar dari duit sendiri dan sumbangan penaja tertentu.

Misalnya, duit yang dikumpul hasil jualan amal dari majlis jualan amal Palestin yang dianjurkan oleh pelakon dan pengarah Erma Fatima.

Lantas idea untuk menubuhkan Friends Ukhuwah juga terhasil daripada kerja amal itu.

Menyentuh tentang perancangan yang akan dilakukan pada masa akan datang, Zahida berkata dia bercita-cita menubuhkan ‘Rumah Friends Ukhuwah’ untuk menempatkan mangsa Aids dan anak-anak yatim.

“Ikutkan saya memang ada banyak cita-cita tetapi yang sedang saya rancang sekarang ini adalah menubuhkan Rumah Friends Ukhuwah jika berjaya mengutip dana.

“Selain itu, ada banyak lagi perancangan yang kita lakukan tetapi tak hebahkan,” tuturnya yang setakat ini melakukan kerja amal di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Lupa niat kahwin

Diusik tentang kahwin, Zahida yang sebelum ini menafikan dia akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini berkata masih menantikan saat-saat itu.

“Kalau ada jodoh, saya bersedia untuk berkahwin kerana sudah ramai kawan yang sudah berkahwin dan selepas ini Umie Aida pula.

“Tetapi saya nak capai cita-cita dahulu untuk menolong orang-orang yang memerlukan,” katanya yang turut menubuhkan produksi, Nameera Production Sdn. Bhd bersama Erma Fatima baru tahun ini.

Ujarnya, dia yang sepatutnya membikin drama di bawah produksi itu terpaksa melupakan niat itu kerana kedua-duanya sibuk dengan hal tersendiri.

“Kalau ada peluang memang saya nak berlakon dan ikutkan memang saya ada mendapat job sebelum puasa tetapi saya terpaksa tolak sebab sibuk dengan kerja amal,” katanya.

Tidak buat hamper raya tahun ini

Disebabkan faktor sibuk membuat kerja amal, Zahida tidak berkesempatan untuk melakukan bisnes hamper raya yang biasa dilakukan semasa bulan puasa tahun lepas.

Jika sebelum ini, Zahida akan menggunakan hasil jualan hamper raya untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan.

Menyentuh tentang persiapan raya pula, Zahida yang akan beraya di Kuala Lumpur berkata dia tidak perlu risau kerana sudah menempah enam hingga lapan pasang baju raya dengan pereka fesyen kegemaran iaitu Michael Ong, Rizman Ruzaini, Rizalman, Syaiful Bahrim, Albert King dan John Paris yang memiliki butik di Amcorp Mall, Conteng Boutique.

Artikel Sebelum

Vanidah harap tidak dibandingkan dengan Erra

Artikel Berikut

Hans: Saya tak berniat kecewakan sesiapa

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain