suria

Kes Norish ditunda 20 Ogos

Norish akur dengan keputusan mahkamah yang terpaksa menunda kesnya pada 20 Ogos depan.
Norish akur dengan keputusan mahkamah yang terpaksa menunda kesnya pada 20 Ogos depan.
Norish akur dengan keputusan mahkamah yang terpaksa menunda kesnya pada 20 Ogos depan.

SHAH ALAM: Aktres Norish Karman hari ini akur dengan Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menunda keputusan ke atas tiga permohonan yang telah difailkan olehnya terhadap bekas suami, Datuk Hashimuddin Abdul Kadir ke tarikh 20 Ogos depan.

Tiga permohonan tersebut adalah permohonan mendapatkan nafkah sementara untuk anak-anak mereka dan mendapatkan perintah ex-parte bagi membekukan sebahagian harta bekas suaminya sementara menunggu keputusan kes harta sepencarian selesai.

Manakala permohonan ke tiga adalah permohonan mengenepikan perintah ex-parte yang diperoleh bekas suami Norish Karman yang menghalang artis itu membawa anak-anaknya berjumpa kekasihnya, Mohd Luqman Mohd Amin.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad sebelum ini telah menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan, namun telah menangguhkan ke tarikh 20 Ogos depan kerana masih belum bersedia untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Norish atau nama sebenarnya Nor'Asikin Karman berkata, jika ikutkan hati, sememangnya semua mahukan jawapan dan penyelesaian.

“Tetapi saya nak buat macam mana kerana ia terpaksa ditunda ke 20 Ogos ini.

“Hakim Syarie pun sudah meminta maaf sebab tidak dapat membuat keputusan..mungkin kerana dia inginkan keputusan yang terbaik dan memberikan jawapan sekaligus.

“Saya juga berharap keputusan yang terbaik lagipun sudah nak masuk Ramadhan,” komennya mengenai tiga kes yang sepatutnya berakhir pada hari ini.

Norish juga berjanji untuk hadir pada 20 Ogos ini dan walaupun tidak sihat pada hari ini dia masih hadir ke mahkamah sebagai tanda hormat. “Saya mesti datang sebab saya tak nak hina mahkamah..ini kehidupan saya. Jadi, jika saya ada kerja pada tarikh itu, saya terpaksa lepaskanlah,” tambahnya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Norish , Akbardin Abdul Kader, permohonan untuk mengenepikan perintah ex-parte ini dibuat kerana perkara tersebut bukanlah perkara utama dan tiada kena mengena di dalam kes ini.

"Kami ingin mengenepikan perintah ex-parte yang diperoleh bekas suami Norish yang menghalang dia membawa anak-anaknya berjumpa Luqman.

"Ini kerana tiada sebarang asas untuk perintah itu dan tiada kena mengena langsung di dalam kes ini," katanya yang ditemui di luar bilik perbicaraan.

Akbardin juga turut meminta agar semua pihak media melaporkan perkara yang sebenarnya kerana menurutnya, ada berita yang salah dalam isu anak guamnya ini telah disiarkan di dalam akhbar.

"Misalnya, saya ada baca di dalam akhbar mengatakan Norish menuntut kelima-lima kereta sedangkan sebenarnya dia hanya menuntut satu sahaja.

"Perkara ini sedikit sebanyak menganggu fikiran anak guam saya, jadi saya minta agar cerita yang benar dapat dilaporkan," katanya.

Artikel Lain