suria

Ito Blues Gang: Teringin buat konsert tapi kena ada album

‘Saya bukanlah ahli politik..jadi saya tidak menolak siapa (parti) yang mengundang untuk menyanyi.' -Ito Blues Gang -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
‘Saya bukanlah ahli politik..jadi saya tidak menolak siapa (parti) yang mengundang untuk menyanyi.' -Ito Blues Gang -foto The Star oleh CHAN TAK KONG
‘Saya bukanlah ahli politik..jadi saya tidak menolak siapa (parti) yang mengundang untuk menyanyi.' -Ito Blues Gang -foto The Star oleh CHAN TAK KONG

SEBUT sahaja nama Raja Blues Malaysia, Ito, pasti ramai yang teringat dengan kumpulan Blues Gang yang popular lebih 33 tahun lalu dengan irama blues.

Walaupun kadangkala bergerak solo, Ito, 58, masih kekal dalam kumpulannya yang dianggotai oleh Julian Mokhtar (gitar), Jim Madasamy Puvanam (bass), Shaik Karim Shaikh Ahmad (dram) dan Abd Ghani Datuk Talib (keyboards).

Boleh dikatakan pada malam-malam tertentu, mereka akan menghadiri persembahan undangan di K Kelab, Taman Melawati.

Jika tiada aral, Ito akan mengikuti persembahan jelajah di sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kuantan dan sebagainya.

Ditanya tentang konsert besar-besaran, Ito berkata siapa yang tidak mahu tetapi sebolehnya dia inginkan Blues Gang tampil dengan album terlebih dahulu.

“Saya memang teringin buat konsert dengan rakan-rakan Blues Gang yang lain tetapi sekurang-kurangnya kami perlu ada album,” jawab Ito yang ditemui dalam persembahan sempena Muktamar PAS ke-55 baru-baru ini.

Ito mengaku yang dia telah lama menyertai persembahan yang dianjurkan oleh parti PAS sejak tahun 1999 lagi.

“Saya buat (persembahan) untuk PAS dah banyak kali dari tahun 1999 dan sejak masa ‘Gerakan Reformasi’ lagi,” katanya.

Namun, dia enggan mengulas lanjut mengenai penyertaannya dalam persembahan itu kerana baginya ‘saya bukanlah ahli politik..jadi saya tidak menolak siapa (parti) yang mengundang untuk menyanyi’.

Diajukan tentang bayaran yang diterimanya sehingga kini, Ito berkata bayaran yang diterimanya agak berbaloi dan dia tidak pernah ‘demand’ dalam soal wang ringgit.

Dalam perkembangan lain, bapa kepada empat orang anak ini telah mengeluarkan album VCD karaoke iaitu ‘Bangkit Bukan Bingit’ yang berkonsepkan dikir barat dan blues.

“Album ini memuatkan lapan buah lagu baru dan dua buah lagu lama.

“Lagu-lagu baru saya lebih bercorak ketuhanan dan nasihat yang 80 peratus digubah dan ditulis oleh saya.

“Saya mengambil masa setahun untuk mengumpul material album ini dengan kos sebanyak RM30,000.

“Kita keluarkan album karaoke terlebih dahulu sebagai strategi pasaran syarikat yang mengedarkan album ini iaitu Life Records Sdn. Bhd.,” ujarnya.

Antara lapan buah lagu baru yang dimuatkan dalam album itu adalah Dialah Allah, Bangkit Bukan Bingit, Tokleh Tokse (duet dengan Jali Bunga Tanjung), Lamo Tak Jumpo, Katakan dan Jangan Pandang Kulit manakala dua buah lagu lama adalah Apa Nak Dikato dan Khatulistiwa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain