suria

Kakak Tua: Dilema antara 'Berbagi Suami' dan amar maaruf !

Maizawati bersama lima orang anaknya ketika di luar Mahkamah Syariah Ipoh baru-baru ini
Maizawati bersama lima orang anaknya ketika di luar Mahkamah Syariah Ipoh baru-baru ini
Maizawati bersama lima orang anaknya ketika di luar Mahkamah Syariah Ipoh baru-baru ini

BANYAK juga kecaman yang diterima Kakak Tua berhubung artikel 'Di Mana Hilangnya Malu?' yang tersiar minggu lepas. Ramai yang menyanggah dan berpihak kepada Maizawati.

Ada yang menitip pesanan buat Akhil, "permata yang telah digilap dengan cahaya kilauan keimanan dan dibentuk dengan sifat yang cantik, ditinggalkan Akhil begitu sahaja. Jangan dicari permata baru..."

Kakak Tua pula tidak kuasa untuk membela diri kerana akur akan janggal bunyi hujahnya nanti.

Sensasi kemelut ciptaan Akhil-Maizawati dan Waheeda yang hampir selari dengan tajuk filem Indonesia tahun 2006 'Berbagi Suami' tidak terungkai oleh hukum akal dan logik.

Barangkali, jika dinilai siapakah penyumbang terbesar dalam kancah cinta tiga segi ini tentu ramai yang akan menuding jari kepada 'Ustaz' Akhil Hayy.

Memang ada benarnya kerana sebagai pemimpin, ketua keluarga dan nakhoda kapal, Akhil seharusnya lebih bijak mengendalikan bahtera yang hampir karam.

Kenapa dibiar Maiza 'memekik' meminta tolong tanpa kawalan dan sekatan?

'Kehilangan' Akhil selama 3 bulan dari rumah seperti memberi paspot 'kebebasan' pada Maiza untuk bertindak ikut emosi.

Perasaannya yang berkecamuk tidak mampu lagi diselindung walau wajah tampak tenang di sebalik kaca mata ranggi.

Tutur kata Maiza juga tidak seiring dengan perbuatannya, membuat Kakak Tua tertanya-tanya apakah niat sebenar Maiza?

Kalau sayangkan rumahtangga, bukan begitu caranya kerana sesampai di Mahkamah Syariah, lain pula bicara seperti keliru dan celaru.

Baik Maiza mahupun Waheeda, terimalah takdir diri jika di tangan ada retak madu. 'Berbagi suami' tidak salah cuma gaya dan langkahnya perlu betul, adil dan saksama. Mampukah Akhil membahagi diri dan waktu?

Dan kalau sudah canang pada media rela hidup bermadu, jangan mulut saja kata sudi tapi hati mencuka mencari akal untuk menutup kelemahan diri.

Muslihat apakah yang menyebabkan Akhil berlagak alang-alang jahil membatu sekian lama dan memendam saja masalah yang membelenggu.

Mungkinkah niat di hati inginkan 'the best of both worlds' maka dibiarkan saja ianya berlarutan hingga kusut tidak terlerai.

Fitrah lelaki memang 'polygamous' kerana begitulah resamnya...sudah 'ada sampan hendak berenang' dan dah 'ada tangga hendak memanjat tiang' pula.

Sikap Maiza berkeluh kesah di media seperti kurang didikan suami, tempiasnya terpalit ke muka Akhil. Aib suami entah ke mana bila ghairah mendedah cerita perit di kaca TV dan dada akhbar.

Berdandan dan berhias pula ketika hadir di Mahkamah Syariah untuk tuntutan cerai persis menghadiri satu acara glamor.

Drama yang disajikan turut diselit babak lima anak kecil. Kakak Tua tidak fikir aksi itu untuk mendamba simpati kerana mustahil seorang ibu sanggup menggunakan anak-anak menggapai tujuan tersirat.

Anak-anak kelihatan dalam keadaan kebingungan, terlalu naif untuk mengetahui drama apakah yang sedang dipentaskan di depan mata?

Akhil pernah berkata, "jangan buat fitnah" tapi tanpa sedar, Ustaz yang tidak begitu mesra media ini mencipta fitnah dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa...

Menonton wayang dengan wanita bukan muhrim dan bercanda di pantai pada waktu malam tatkala badai rumahtangga sedang bergolak hebat. Fikirlah sendiri apa akibatnya?

Tidak pasti adakah bertujuan untuk meletakkan titik nokhtah pada gosip? Tapi akhirnya tanpa berfikir panjang, Ustaz Akhil 'merasmikan' hubungannya dengan selebriti Waheeda menjadikan dia 'suri' dalam program 'Cafe Akhil Hayy.'

Hairan bila sudah terhantuk baru hendak mengaduh...baru terfikir tentang kredibiliti pendakwah yang sudah tercemar? Kalau sudah namanya Ustaz, tentulah persepsi masyarakat terhadap Akhil seiring dengan gelaran itu.

Sepatutnya Akhil berusaha mengekalkan imej sebegitu dan bukan menodainya. Di mana-mana bercakap pasal maaruf tetapi perbuatan jelas berlawanan.

Wajah Islam yang dibawa oleh Akhil turut terjejas dan nampak buruk. Inikah wajah sebenar Ustaz? Tidak mustahil yang akan terus curiga gelaran mulia itu?

Tentu saja kontroversi ciptaan Akhil-Maiza-Waheeda ini sedikit sebnayak berjaya menaikkan rating 'Cafe Akhil Hayy'.

Tapi bagaimanakah agaknya kesudahan cerita tiga pendukung watak utama dalam drama ala Sinetron ini?

KAKAK TUA: Bila air besar sampan tak hanyut, kita hanya perlu redha!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain